Apa penting KKM bekerja sebagai satu pasukan untuk negara
PUTRAJAYA – “Pengiktirafan itu bukan untuk saya tetapi untuk negara.”
Itu reaksi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk
Dr Noor Hisham Abdullah selepas beliau diiktiraf setaraf dua lagi tokoh
perubatan, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley
Bloomfield (New Zealand) sebagai ‘wajah paling dipercayai’ khususnya
dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.
Beliau berkata, apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara.
“KKM memberikan nasihat (kepada kerajaan)
dan pastinya yang membuat keputusan bukanlah saya tetapi sebenarnya
adalah Perdana Menteri.
“Contohnya Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) yang melaksanakan adalah Perdana Menteri, kami mengesyorkan namun
beliau yang membuat keputusan serta arahan tindakan,” katanya seperti
dipetik Harian Metro.
Dikenali sebagai insan yang merendah
diri, Dr Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada semua
kementerian dan menteri yang bekerjasama dalam pelaksanaan PKP.
Menurutnya, tindakan kawalan sempadan yang tegas juga menyumbang kepada kejayaan PKP supaya orang ramai patuh.
“KKM ucapkan terima kasih kepada Angkatan
Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan
sebagainya yang gigih mengawal sempadan negara.
“Penghargaan juga kepada mereka dan barisan hadapan kesihatan yang tampil ikhlas bekerja,” katanya.
Agensi berita antarabangsa sebelum ini
memetik portal China Global Television Network (CGTN) yang menamakan Dr
Noor Hisham, Dr Fauci dan Dr Bloomfield sebagai ‘wajah paling
dipercayai’.
Beliau dan dua lagi tokoh perubatan itu
mendapat pengiktirafan media China serta menggelar mereka sebagai
penyampai kebenaran dan wira dunia.
Dr Noor Hisham menyandang jawatan Ketua
Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan masih menjalankan tugas sebagai
perunding kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya.
Dr Fauci menjadi penasihat perubatan
kepada enam presiden AS serta pernah ‘memerangi’ HIV/AIDS, Zika dan
Ebola manakala Dr Bloomfield pula sebelum ini bertugas di United Kingdom
dan New Zealand serta pernah menyertai Pertubuhan Kesihatan Sedunia di
Geneva.
Dr Fauci dilaporkan bertugas antara 16
hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu dan melayani sesi
temubual dengan semua rangkaian televisyen yang ada.
Dr Noor Hisham pula belum pernah gagal
membuat hantaran di Twitter dan Facebook walaupun pada lewat malam untuk
memberikan maklumat terkini berkaitan situasi Covid-19 di Malaysia.
Lebih menarik lagi, hari Dr Bloomfield
mengambil cuti rehat menjadi tajuk utama akhbar di New Zealand bulan
lalu dengan paparan “Akhirnya Bloomfield Mengambil Cuti Sehari.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan