Rabu, 1 April 2020

Mereka pertaruhkan nyawa…

sitifatimah

 

Terima kasih! Andalah wira tidak didendang. Andalah hero kami

KETIKA ini pastinya pegawai-pegawai yang bertugas di barisan hadapan bertungkus-lumus mengekang penularan jangkitan COVID-19. Mereka bekerja tidak kira masa, cuti dibeku. Berkorban masa dan tenaga. Nyawa mereka juga dipertaruhkan.

Terima kasih! Andalah wira tidak didendang. Andalah hero kami. 

Beban yang mereka tanggung bukan alang kepalang besarnya, babitkan nyawa. Berlaku sedikit kesilapan dan kelalaian ketika melaksanakan tugasan bahana besar bakal menanti.

Contohnya sudah ada, awal bulan ini kita digemparkan dengan berita seorang jururawat pelatih yang bertugas di sebuah hospital swasta disahkan dijangkiti COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jururawat wanita berusia 20 tahun itu dikenal pasti mengendalikan kes ke-24 tanpa memakai sebarang alat perlindungan diri.

Namun, apa yang membanggakan Pedang, musibah yang melanda jururawat pelatih berkenaan sama sekali tidak mematahkan semangat pelatih lain, apabila dilaporkan seramai 1,000 doktor pelatih bersedia untuk bertugas dan di tempatkan di semua hospital kerajaan seluruh negara.

Walaupun kurang berpengalaman dan berdepan dengan risiko dijangkiti, semangat yang dipamerkan oleh doktor pelatih berkenaan wajar dipuji dan kami seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga Allah SWT melindungi anda semua.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, apa yang boleh kita lakukan bagi membantu meringankan beban ditanggung petugas barisan hadapan ini.

Paling utama, Pedang syorkan rakyat Malaysia supaya menghentikan sebarang bentuk aktiviti luar bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kontak yang boleh membawa risiko kepada jangkitan.

Selain itu, ikutilah segala arahan dan pekeliling yang dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan jangkitan.

Usaha-usaha berkenaan bukan sahaja dapat membantu diri daripada dijangkiti COVID-19, malah membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pasukan barisan hadapan.

*Kata Pedang: Pembelian panik sudah berlaku, bimbang ‘lockdown’ kata mereka…


Tiada ulasan: