Jumaat, 3 April 2020

3 lagi kematian, 217 kes baru Covid-19 di Malaysia

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Malaysia mencatatkan tiga lagi kematian baru berkaitan jangkitan Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak itu di Malaysia sebanyak 53.

Kes jangkitan baru yang dilaporkan pula setakat tengah hari tadi adalah sebanyak 217, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan 3,333.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan bahawa 60 pesakit pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 827 kes (24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Jelas Noor Hisham, 58 daripada 217 kes baru yang dilaporkan hari ini mempunyai kaitan dengan kluster tabligh Sri Petaling.

Selain itu, 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang merupakan salah satu hospital Covid-19, di mana 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor.
Sehingga kini, seramai 108 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Berikut merupakan tiga kematian terbaru:
  • Kes kematian ke-51 (kes ke-2561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara. Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengah hari.
  • Kes kematian ke-52 (kes ke-2122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi.
  • Kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi.
Dalam sidang medianya hari ini, Noor Hisham juga memaklumkan bahawa setakat tengah hari semalam, terdapat 138 anggota kesihatan KKM dilaporkan dikesan positif Covid-19.

Tiada kes yang melibatkan anggota KKM yang dijangkiti berpunca daripada pengendalian kes di fasiliti KKM.

Punca-punca jangkitan melibatkan anggota KKM adalah seperti berikut:
  • 58 kes (42 peratus) berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang juga menghadiri perhimpunan di Seri Petaling
  • 14 kes (10.1 peratus) berkaitan dengan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan kes bergejala ringan di mana, mereka tidak tahu atau tidak memaklumkan status mereka. Dua (2) kes daripada kumpulan ini tidak memaklumkan yang mereka telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.
  •  
  • 9 kes (6.5 peratus) dari kontak dengan ahli keluarga yang positif Covid-19
  • 6 kes (4.3 peratus) dengan sejarah melawat ke luar Negara
  • 4 kes (2.9 peratus) dari rakan yang positif COVID-19
  • 3 kes (2.2 peratus) dari pendedahan semasa aktiviti saringan di lapangan
  • 2 kes (1.4 peratus) telah hadir perhimpunan di Seri Petaling
  • Baki kes iaitu 42 kes (30.4 peratus) masih dalam siasatan punca jangkitan.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Tiada ulasan: