Presiden
PKR, Anwar Ibrahim menafikan perjumpaan ringkas antara beliau dengan
timbalannya Mohamed Azmin Ali di parlimen hari ini merupakan mesyuarat
rekonsiliasi.
Sebaliknya, Anwar berkata pertemuan tersebut adalah perjumpaan biasa dan lebih kepada membincangkan hal ehwal ekonomi negara.
"Bukan (mesyuarat rekonsiliasi). Itu cuma mesyuarat biasa. Bincang masalah ekonomi negara.
“(Setakat ini) isu parti terkawal, parti baik dan ekonomi pun bincang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Anwar
yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata demikian ketika ditanya
sama ada pertemuan tadi sebagai “mesyuarat rekonsiliasi”.
Anwar
pada 17 September bertegas tidak bersedia untuk berganjak dengan
tuntutan anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang mahu “mesyuarat
rekonsiliasi” antara Anwar dan pihak dalam PKR yang tidak puas hati
dengannya.
Sebaliknya, kata Anwar, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang mereka pulaukan.
Mesyuarat biro politik PKR diadakan setiap Rabu dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermesyuarat pada setiap bulan.
Mengulas
kehadiran Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi di dua mesyuarat
parti itu, Anwar berkata beliau tidak bertanyakan mengenai perkara itu.
"Saya tidak ada masa nak tanya. Sebab banyak masalah ekonomi yang harus dibereskan,” katanya.
Anwar
Ibrahim dan timbalannya, Azmin yang didakwa tidak sehaluan sejak
kebelakangan ini, mengadakan perjumpaan ringkas di parlimen hari ini.
Hadir semasa perjumpaan itu ialah Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar turut memuat naik gambar perjumpaan mereka di halaman Facebook rasminya.
Saksi mata yang menyaksikan ketiga-tiga mereka minum bersama itu berkata perjumpaan berkenaan diadakan dalam keadaan yang mesra.
Ia berlangsung sekitar 30 minit pagi ini.
Hubungan
antara Anwar dan Azmin menjadi tegang sejak akhir tahun lalu selepas
Anwar melantik pencabar yang dikalahkan oleh Azmin ke dalam pimpinan
PKR, dengan alasan keperluan untuk menjadi inklusif.
Hubungan
itu semakin meruncing pada bulan Jun lalu apabila video seks didakwa
mirip Azmin dan seorang lelaki lain mula disebarkan.
Azmin
menafikan beliau adalah individu dalam video itu dan mendakwa ia adalah
satu konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya. Anwar
pula menafikan sebarang peranan dalam video seks berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan