ULASAN | Sebaik sahaja YB Menteri Kewangan mengadakan sidang akhbar yang menyatakan pihaknya telah pun membayar royalti kepada kerajaan negeri Kelantan pada minggu yang lalu (14 Oktober 2019), isu ini kembali menjadi tajuk utama di media-media arus perdana dan tidak ketinggalan dalam media sosial.
Banyak pihak mengeluarkan kenyataan mengenai isu tuntutan Royalti ini. Alhamdulillah, dari sudut positif kesannya isu ini akan tetap segar dalam ingatan dan perjuangan rakyat Kelantan.
Antara yang paling menyedihkan ada pihak yang melemparkan kata-kata kesat berupa fitnah dengan pelbagai tuduhan kepada pihak kerajaan Negeri. Ditohmahnya kerajaan “tidak pandai”, “tidak ada kepakaran”, “tidak ada maklumat”, “tidak tahu sempadan”, “tidak tahu jumlah telaga minyak”, “tidak pandai undang-undang”, “tidak tahu jumlah sebenarnya royalti yang perlu dituntut” dan lain-lain komen negatif tanpa memahami perjalanan perjuangan yang penting dan utama ini.
Lantaran itu, pihak kami akan sentiasa cuba untuk menyampaikan beberapa maklumat yang boleh didedahkan. Terdapat banyak maklumat yang masih perlu disimpan atau diklasifikasikan sebagai rahsia atau ia masih di peringkat perundingan atau kajian yang tidak membolehkan ia didedahkan sebelum tiba masanya.
Tindakan tersebut boleh dikira sebagai subjudis berikutan kes ini berada di peringkat perbicaraan mahkamah berikutan saman kerajaan negeri terhadap Petronas.
Tidak banyak kenyataan dikeluarkan bukannya bermaksud tidak pandai atau tidak tahu untuk menguruskan hal tuntutan royalti tersebut.
Setelah ia dibatalkan secara rasmi, barulah isu ini boleh dibincangkan secara terbuka.
Jumlah tuntutan royalti
Sebagai
salah satu maklumat yang amat penting adalah berapakah jumlah anggaran
tuntutan royalti petroleum yang sepatutnya diterima oleh negeri Kelantan
berdasarkan telaga minyak yang telah mengeluarkan hasil di dalam dan di
luar pantai Kelantan?Berikut dinyatakan anggaran Royalti berdasarkan kiraan yang dibuat mengikut 5 blok yang wujud
BLOK JDA
Kawasan pembangunan bersama Malaysia dan Thailand yang diwujudkan melalui perjanjian 21 Februari 1979. Pengeluaran telah bermula pada 2005.
Anggaran
pengeluaran gas sebanyak 790 mmscfd (284 trillion kaki padu setahun).
Anggaran pengeluaran minyak dan gas adalah 60,000 tong sehari kali
AS$52.51/tong bersamaan AS$1.149 billion (RM4.94Billion) (exchange rate
RM4.29).
Royalti 5 peratus yang diterima oleh Malaysia hendaklah
dikongsi sama rata antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri
Kelantan iaitu 2.5 peratus bagi setiap pihak.Royalti 5 peratus milik Kelantan dianggarkan RM124 juta setahun.
BLOK PM3/CAA
Ini adalah kawasan pengeluaran bersama Malaysia dan Vietnam dengan pengeluaran bermula tahun 1997.
Pengeluaran
minyak adalah 106,000 tong sehari dan 270 mmscfd gas sehari (46.06
peratus Hak Malaysia daripada Pengeluaran di PM3).Dianggarkan nilai pengeluaran adalah sebanyak AS$2 billion (RM4.8Billion) dan 46.06 peratus bahagian Malaysia sebanyak AS$940juta.
Royalti 5 peratus dibayar kepada Malaysia dan 5 peratus juga kepada Vietnam.
Kelantan berhak mendapat 50 peratus daripada hak Malaysia bagi telaga-telaga yang berada di dalam Perairan Kelantan-Vietnam. Anggaran Royalti kepada Kelantan adalah RM101 juta setahun.
BLOK PM301
Terletak di perairan Kelantan sepenuhnya. Kawasan simpanan minyak mentah dan gas asli di blok ini adalah Kamelia, Zetung, Anggerik, Kesumba, Bumi South dan Melati.
Penemuan gas di Medan Kamelia dengan kapasiti 110 mmcfd telah mula operasi pada Januari 2013 oleh Carigali Hess dengan nilai pengeluaran setahun AS$363.5 juta (RM1.56 billion).
Manakala, Royalti 5 peratus adalah sebanyak RM78 juta setahun.
Pengeluaran Bumi South adalah sebanyak 87 juta kaki padu gas sehari dengan nilai sebanyak As$287.5 juta setahun bermula dari 2013. Royalti dianggarkan sebanyak RM61.8 juta setahun.
Kawasan pertindihan Kelantan-Terengganu
BLOK PM302
Medan Bergading telah mengeluarkan gas dengan kapasiti 165 juta kaki padu gas sehari bersamaan 28,500 tong sehari dengan nilai AS$545 juta setahun (RM2.77 Billion).
Manakala, Royalti 5 peratus untuk Kelantan adalah RM117 Juta setahun.
PM303
Pengeluaran minyak Medan Lawit adalah 57,000 tong sehari dengan nilai sebanyak AS$1.1 billion setahun. Royalti dianggarkan sebanyak RM235 juta setahun.
Pengeluaran minyak Medan Bintang pula adalah sebanyak 30,000 tong sehari dengan nilai sebanyak AS$575 juta setahun. Royalti dianggarkan sebanyak RM123.6 juta setahun.
Pengeluaran dari Medan Jernih adalah 57,500 tong sehari. Bagi Medan ini dianggarkan 80 peratus kawasan berada di sebelah Kelantan dan 20 peratus di sebelah Terengganu oleh itu royalti bagi Kelantan adalah RM189.5 juta setahun.
Kalau dicampur angka-angka tersebut RM1,029.9 juta royalti perlu dibayar kepada Kelantan.
Sebagai contoh, sekiranya kita merujuk kepada anggaran yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM681,169,052.00, bagi tahun 2017 pula adalah RM1,030,226,056.00 dan bagi tahun 2018 sebanyak RM1,106,505,418.00.
Manakala, wang ehsan yang dibayar pula sangat jauh bezanya umpama langit dan bumi iaitu sebanyak RM28 juta sahaja (2019) dan hanya 2.7 peratus berbanding jumlah royalti.
Tuntutan ini telah pun dibawa kepada pihak berwajib dalam pelbagai bentuk dan cara. Pihak kerajaan negeri mempunyai barisan pegawai yang mahir dan pakar dibantu melalui sumber dari pelbagai agensi termasuk agensi persekutuan.
Pihak R telahpun beberapa kali membawa tuntutan ini kepada pihak Petronas dan pemimpin negara dalam bentuk memorandum rakyat dan surat rasmi.
Tuntutan ini acap kali dibincangkan dan diperbahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Kami amat yakin pihak Kerajaan Persekutuan akan menjawab sama ada kiraan dan maklumat pengeluaran berserta jumlah tuntutan Royalti yang telah didedahkan tersebut adakah ia betul, tepat, salah atau kurang tepat?
Kami sekadar mendedahkan sebahagian sahaja supaya rakyat mengetahuinya.
Seterusnya dapat menjawab segala tuduhan liar yang tidak berasas yang menyatakan pihak kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat lengkap tentang tuntutan Royalti.
Harapan rakyat
Rakyat Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan amat berharap agar semua pihak yang terliba, baik di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan agar dapat duduk semeja bagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan ini dalam masa terdekat demi kebaikan rakyat.
Kami menyeru pihak-pihak yang sentiasa mengeluarkan kenyataan yang berniat untuk mengelirukan rakyat agar berhenti dari berbuat dosa percuma. Ayuhlah bersama kami untuk merelisasikan perjuangan suci rakyat Kelantan ini.
Marilah kita sama-sama melakarkan sejarah manis untuk generasi anak cucu kita dengan perjuangan yang kita bina kini.
Dengan pendedahan ini adalah amat diharapkan agar ia akan meningkatkan motivasi semua pihak untuk turut bersama di dalam perjuangan ini.
NAZRI DERAMAN ialah Presiden NGO R.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan