Ahad, 27 Oktober 2019

Keluarga Melayu bergosip bahasa Tamil, berkongsi rahsia guna bahasa Mandarin

Zehairi Mohd Ripin (berdiri, dua dari kiri) bersama isterinya, 
Prasetia Ispati dan anak mereka – Syah Putra (berdiri, kiri), 
Syafiqa (berdiri, kanan), Dian (duduk dari kiri), Sherina serta Alfin.
 
PORT DICKSON: Zehairi Mohd Ripin dan isterinya, Prasetia Ispati tinggal di sini selama 19 tahun bersama lima anak mereka yang pandai berbahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.

Tetapi, bagaimana Syafiqa, Syah Putra, Dian, Alfin dan Sherina pandai bertutur tiga bahasa ibunda di negara ini?

“Saya pernah kerja di sebuah kilang dan jiran saya yang berbahasa Tamil menjaga anak-anak saya ketika saya bekerja,” kata Prasetia yang berasal dari Surabaya, Indonesia dan lebih mesra dengan panggilan Tia kepada FMT.

Jirannya ialah Marimuthu Subramaniam yang lebih dikenali keluarga Tia sebagai Amma, bahasa Tamil bagi panggilan ibu.

Lima beradik itu belajar bahasa Tamil dan banyak aspek budaya orang India sepanjang dijaga Amma.

“Saya sangat teruja anak-anak saya belajar budaya kaum lain. Saya turut belajar bercakap bahasa Tamil bersama mereka,” kata Tia.

Pasangan itu menghantar anak mereka ke sekolah Cina untuk belajar bahasa Mandarin dan budaya kaum Cina.

Di rumah pula, lima beradik itu akan berbahasa Melayu dengan Zehairi.

Itulah sebabnya lima beradik itu tidak perlu berbisik rahsia di depan orang lain kerana mereka boleh menguasai bahasa ibunda tiga kaum utama negara ini.
Amma (sari merah jambu) bersama keluarganya dan Zehairi.
Anak sulung, Syafiqa, 18, berkata kebanyakan masa dia dan adiknya berbahasa Tamil, tetapi Mandarin digunakan ketika berkongsi rahsia bagi mengelak diketahui ibu bapa mereka.

Apabila Tia keluar dengan anaknya, mereka bertutur bahasa Tamil dan ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya latar belakang keluarga itu yang pandai berbahasa “asing”.

Syafiqa berkata, menguasai bahasa berlainan memberi lebih banyak peluang kepadanya.

“Ini tidak menjadikan saya kurang Melayu, tetapi lebih seperti rakyat Malaysia.”

Anak bongsu berusia 11 tahun, Fara berkata: “Saya gembira dapat bercakap bahasa yang berbeza kerana boleh berkawan dengan kanak-kanak berbilang kaum.”

Anak kedua, Syah Putra, 17, berkata pandai berbahasa Tamil menyebabkan dia lebih menghayati muzik Tamil.

Ayahnya bersetuju: “Anda akan selalu dengar lagu Tamil dinyanyikan di sini pada sebelah malam.”
Puteri Noor Syafiqa berkata, belajar bahasa lain tidak menjadikannya kurang Melayu.
Keluarga itu yang suka filem Tamil akan ke panggung wayang sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Tamil bukan satu-satunya perkara yang mereka pelajari dari Amma. Tia kini tahu memasak kari, dhal dan hidangan India yang lain.

“Ketika saya mula-mula datang dari Indonesia, saya tidak pernah memakannya, sekarang puri ialah kegemaran saya.”

Anak perempuan berusia 15 tahun, Dian berkata, keluarganya meraikan Deepavali bersama Amma.

“Kami pergi ke rumahnya dan membersihkannya, serta membantunya membuat biskut tradisional, maka kami akan meraikan bersama.”

Tia gembira keluarganya bukan saja rapat dengan Amma, tetapi jiran mereka yang berbilang kaum.
Mohd Syah Putra suka menyanyikan lagu Tamil.
“Di sini, semua orang mengenali satu sama lain,” kata Tia yang berharap lebih ramai rakyat akan mempelajari bahasa “rakyat Malaysia”.

“Itu sangat baik untuk perpaduan negara.”

Tetapi, Tia sedih dengan keadaan sekarang.

“Hari ini kita nampak orang Melayu hanya bergaul dengan orang Melayu, orang Cina dengan Cina dan orang India bersama orang India.”

Bagi Tia, rakyat Malaysia tidak nampak manfaat daripada perkara yang menjadikan negara ini unik dan sepatutnya menjadi kekuatan terbesarnya.

“Apa yang menjadikan negara kita cantik ialah kita ini orang berbilang kaum.”

Tiada ulasan: