Nama Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai, Jefridin Atan dan Ketua MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng disebut-sebut antara calon yang akan dipertaruhkan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 Nov nanti.
Malaysiakini difahamkan sehingga artikel ini ditulis, Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi masih belum membuat keputusan mengenai calon yang akan dipertaruhkan.
Difahamkan MCA "masih berkeras" mahu meletakkan calon mereka iaitu Wee untuk bertanding bagi merampas kembali kerusi berkenaan.
"Nama Ketua Umno Tanjung Piai, Jefridin paling atas dalam senarai calon dan hampir pasti dicalonkan.
Zahid yang juga presiden Umno dijadual akan melancarkan jentera pilihan raya bagi PRK Tanjung Piai petang nanti.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada calon BN juga akan diumumkan pada sesi pelancaran jentera itu nanti.
Pada 18 Okt lalu ketika temubual bersama Malaysiakini, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata majoriti pengundi mahukan calon Melayu dalam PRK Tanjung Piai.
Annuar berkata ia berdasarkan kepada tinjauan akar umbi yang dilakukan parti itu bagi melihat mood pengundi Tanjung Piai.
Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin BN untuk membuat keputusan berhubung calon yang akan diletakkan di kerusi tradisi MCA itu.
Sementara itu sumber berkata, beliau yakin pucuk pimpinan parti itu akan membuat keputusan terbaik bagi mencapai kemenanangan.
"Keputusan perlu dibuat secara berstrategi, Umno mahupun MCA pastinya mahukan kemenangan BN untuk merampas kerusi berkenaan.
"Kedua-dua nama mempunyai potensi di Tanjung Piai jika dipertaruhkan," katanya.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.
Dr Md Farid, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.
Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.
Wee yang juga calon MCA yang tewas pada PRU dilapor menyatakan kesediaan untuk bertanding sekali lagi di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan