Sabtu, 19 Oktober 2019

Negara ke arah huru-hara kerana DAP: Berjasa

siti hafidah 

 

 'Back-up' graduan biadab, dah terang DAP musuhi undang-undang

BANGI– Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman kesal terhadap prinsip ‘rule of law’ kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerana berterusan bersifat berat sebelah terhadap pesalah yang berada di pihak mereka.

Beliau menyelar tindakan pemimpin parti paling dominan dalam Kerajaan Malaysia, DAP, kerana membuta tuli menyokong dan membela seorang graduan kejuruteraan, Wong Yan Ke yang bertindak biadab melakukan protes ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Mohd Hazizi berkata, tindakan beberapa pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang membuktikan negara menuju ke arah huru-hara kerana pihak berkuasa tidak boleh ambil tindakan sewajarnya ke atas pesalah.

“Manakala, pesalah boleh buat apa sahaja asalkan mempunyai ‘back up’ dari parti politik.

“Prinsip rule of law dipersampahkan oleh puak ultra kiasu cauvinis DAP. Kenyataan pemimpin DAP yang menyokong membuta tuli pelajar yang terang-terangan ‘pedajal’ dan biadab membuktikan DAP adalah musuh undang-undang, justeru musuh negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman tindakan Yan Ke yang disifatkan melampau dan biadab apabila membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak Naib Canselor universiti berkenaan meletakkan jawatan, sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Tindakan biadab Yan Ke yang menunjukkan tanda protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59 itu, mendapat kecaman ramai pihak kerana tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancaran majlis.

Bahkan, satu petisyen – yang telah ditandatangani hampir 90,000 individu – dilancarkan Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) bagi mendesak pihak universiti menarik balik ijazah sarjana muda Yan Ke.

Pihak UM juga telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin termasuk veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa UM menarik balik laporan polis terhadap graduan itu.

Kit Siang dilaporkan berkata, Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim sewajarnya menangani isu dibangkitkan pelajar, dan bukannya menyasarkan aktivis pelajar atas protes mereka dengan membuat laporan polis.


Tiada ulasan: