Selasa, 22 Oktober 2019

Takkan 8 orang saja pemilik MyKad palsu?



ISU sindiket menjual MyKad yang sedang hangat diperkatakan baru-baru ini baik di media sosial ataupun di akhbar tempatan tidak boleh dan tidak patut dianggap perkara remeh sebagai isu setempat sahaja.

Ia jelas merupakan isu nasional yang menyentuh soal keselamatan negara, yang melibatkan warga asing masuk secara haram ke dalam negara dan dianggap sah sebagai warganegara sedangkan ia adalah “illegal” iaitu kerana perbuatan jenayah menjual MyKad dengan mengesahkan dokuman secara tidak sah.

2. Laporan akhbar Berita Harian bertarikh 12 September 2019 memberitahu bahawa polis telah menahan seramai 20 individu berusia 32 hingga 70 tahun dan lebih memeranjatkan apabila antara dalang sindiket ini melibatkan pegawai kanan JPN Pulau Pinang yang berpangkat; Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Pegawai berkenaan akan menguruskan sijil kelahiran dan MyKad secara tidak sah dan semasa proses mengemas kini data dilakukan, pegawai berkenaan akan mengarahkan beberapa kakitangan JPN lain untuk membantunya,” seperti yang dilaporkan akhbar Berita Harian.

3. Sindiket mengaut keuntungan wang yang lumayan ini seperti yang dilaporkan akhbar menyebut; “Sindiket terbabit memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki MyKad, dan ia bergantung kepada permintaan daripada pihak sindiket.”

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat dalam sindiket terbabit.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh, diarah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan membabitkan kes berkenaan atau berkaitan.

4. Selain dari kejayaan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan PDRM PK Pulau Pinang, membekas 20 individu yang terbabit dengan kes pemalsuan MyKad dan dokuman, MUAFAKAT juga mendesak supaya PDRM meneruskan lagi siasatan sampai ke akar umbi iaitu yang lebih penting mendapatkan kembali semula semua MyKad dan dokuman yang tidak sah beserta pemiliknya sekali, dan hendaklah mereka ini dihadapkan ke pengadilan, kerana bukan hanya bersalah memasuki negara secara haram tetapi juga kerana memiliki MyKad yang tidak sah.

5. Sebelum insiden terbaru ini, BH Online bertarikh 29 Julai 2019, ada melaporkan kejadian yang sama berlaku di Sabah apabila melaporkan; terdapat seorang pegawai pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tiga lelaki yang ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Semporna.

Bersama tangkapan turut dirampas daripada mereka antaranya borang daftar kelahiran, bahagian Kad Pengenalan, 34 cop palsu jabatan kerajaan, klinik kesihatan, hospital, ketua kampung dan Pesuruhjaya Sumpah.

6. MUAFAKAT berasa amat bimbang mengenai isu ini kerana ia boleh mendatangkan beberapa sebab dan kebarangkalian atau andaian antaranya seperti berikut;

1. Berkemungkinan individu yang memiliki MyKad Haram ini terdiri dari mereka yang pernah melakukan jenayah berat di negara asal mereka.

2. Berkemungkinan individu yang terdiri dari pemberontak atau pembelot di negara asal mereka.

3. Berkemungkinan individu terdiri dari kalangan agen-agen (spy) dari negara yang memusuhi negara kita.

4. Berkemungkinan mereka adalah para tentera musuh yang masuk secara sedikit demi sedikit untuk menjajah negara kita apabila mereka telah ramai dan ada arahan dari komandan mereka untuk bertindak.

7. Semua kebarangkalian atau andaian yang disebutkan di atas ini tidak mustahil boleh berlaku dan tidak boleh dianggap sepi kerana ia boleh terjadi apabila bilangan kemasukannya sangat luar biasa jumlahnya.

Walaupun sehingga artikel ini disiarkan berita melaporkan hanya 8 orang pembeli, pemilik MyKad palsu. Persoalannya; apakah hanya 8 orang sahaja?

Boleh jadi yang telah lepas jika diambil kira dengan laporan media; MyStar tajuk: “MyKad Palsu Dijual Kepada Warga Asing”, bertarikh 28 April 2017 tangkapan dan rampasan di Melaka, tidak mustahil individu yang telah terlepas masuk dan berada dalam negara dan berkeliaran dengan bebas dalam negara menggunakan MyKad Haram ini mencecah hingga jutaan orang???

8. Dari itu, dengan tegasnya MUAFAKAT mendesak semua pihak berwajib yang mempunyai kaitan dengan MyKad, dari PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan khususnya Jabatan Pendaftaran Negara mesti bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh menjalankan amanah yang diberi dengan mencari, membekas penjenayah negara, dan menghukum pesalah-pesalah ini dengan hukuman seberat-beratnya tanpa memberi sebarang jaminan, kerana ini melibatkan soal keselamatan negara.

9. Terbaru, peguam yang mewakili penjenayah dan pengkhianat negara ini membantah kes ini di pindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kenapa? Fikir-fikirkanlah…

*Haji Rashidi Bin Haris, Ketua Media MUAFAKAT


Tiada ulasan: