Selasa, 22 Oktober 2019

Ummah gesa PH siasat, ambil tindakan pada Hew dan Teo


Badan bukan kerajaan (NGO) Ummah menggesa Pakatan Harapan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengarang komik Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Hew Kuan Yau dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata ini kerana gambar yang tersebar di dalam media sosial yang menunjukkan seolah-olah Teo menerima komik tersebut.

"(Teo) Seolah-olah mengiktiraf buku ini daripada penerbitnya atau karikatur ini yang kita anggap merupakan satu kesalahan yang bertentangan dengan prinsip kesejahteraan, keharmonian kaum di negaea ini, yang bukan sahaja mengubah sejarah tapi fakta-fakta perjuangan di negara ini.

"Jadi siasatan harus dibuat dan tindakan harus diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media di pejabat Ummah di Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini mendedahkan bahawa Hew telah berjumpa dan menyampaikan komik propaganda itu kepada Teo, dua minggu sebelum komik itu mula diedar di sekolah-sekolah.

Sementara itu, Aminuddin juga berkata beliau tidak menetapkan sebarang tempoh daripada kerajaan tetapi mengharapkan tindakan dilakukan secepat mungkin.

"Kita akan terus desak kerajaan ambil tindakan. Kita sebagai NGO tidak ada apa-apa kuasa.

"Cuma kalau perlu, kita akan bincang dengan peguam. Maknanya kita akan buat satu laporan polis dan mungkin kita akan buat kalau tak ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan," katanya.

Naib Presiden Ummah, Masrizad Sat pula berkata, dalam situasi sebegini pemimpin Islam dalam PH sering kali dilihat mengambil keputusan yang menjaga hati rakan-rakan di dalam PH berbanding bertegas dalam membela undang-undang dan kepentingan negara ini.

"Jangan sampai rakyat dah menyampah dan dengan kerajaan yang ada ini, orang Melayu hanya jadi barua atau setakat jadi badut kepada musuh yang buat kegiatan merosakkan keselamatan dan bangsa agama kita," katanya.

Komik berkaitan BRI China itu adalah komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia dengan Hew - atau turut dikenali dengan gelaran 'Superman'.

Hew menjadi pencerita, manakala Chong Po Ling menjadi pelukisnya.

Ia menjadi kontroversi selepas diedarkan kepada sekolah tertentu di Pulau Pinang.

Susulan itu, kerajaan menegaskan bahawa komik tersebut diedarkan tanpa kebenaran, manakala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan tidak terlibat dalam penerbitannya.


Tiada ulasan: