Isnin, 21 Oktober 2019

Pemimpin PH takut bayang-bayang sendiri, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein berkata, kenyataan pemimpin PH 
berhubung isu kerajaan baru tidak masuk akal memandangkan 
ia hanya satu spekulasi yang belum dibuktikan kesahihan.
 
KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata kritikan dan sikap diperlihatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung dakwaan peralihan kerajaan tanpa DAP dan Amanah, membuktikan pemimpinnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kenyataan pemimpin PH berhubung isu berkenaan adalah tidak masuk akal memandangkan ia hanya satu spekulasi yang sehingga kini masih belum dibuktikan kesahihan.

“Saya tidak memegang sebarang kedudukan (dalam parti dan kerajaan). Jika ada bukti, sila tunjukkan dan apa yang saya boleh lakukan. Sekali lagi ini adalah satu spekulasi. Saya boleh rasakan, mereka ketika ini berasa tidak selamat, takut dengan bayang-bayang sendiri.

“Apabila dia (PH) takut dengan bayangan sebdiri, selalunya mereka akan tuduh orang lain. Dia tidak cermin dirinya sendiri. Maka saya yang menjadi mangsa,” kata beliau ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Minggu lalu, Majlis Setiausaha PH menggesa Hishammuddin menghentikan kempen beliau cuba mengetengahkan idea kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik “inklusif” dipelopori PH.

Gesaan membidas Hishammuddin itu ditandatangani bersama empat setiausaha agung dan setiausaha organisasi komponen PH iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Kenyataan PH itu dibuat tanpa diduga oleh mana-mana pihak, namun menimbulkan spekulasi mengaitkan usaha berkenaan sememangnya wujud dan terancang, didakwa membabitkan Hishammuddin dan beberapa pemimpin dari PH lain.

Dalam kenyataan berasingan hujung minggu lalu, Saifuddin Nasution berkata strategi pihak tertentu yang menyusun perancangan tersembunyi dengan mempunyai agenda tertentu dan mengkhianati amanah rakyat disifatkan hanya mahu menyelamatkan diri dan tidak mencerminkan perjuangan PH.

Katanya, rakyat harus berwaspada dengan usaha pihak tertentu yang hanya ingin menjaga kepentingan politik peribadi semata-mata.

Jelasnya, parti itu mempunyai “circumstantial evidence” (keterangan berdasarkan keadaan) mengenai cubaan merampas kuasa gabungan parti pemerintah sedia ada.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata isu-isu seperti ini sengaja dibangkitkan PH bagi mengalih perhatian rakyat kepada isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat seluruh negara.

“Saya boleh jawab kritikan mereka tetapi hendak layan sangat, hanya akan menyebakan rakyat keliru.

“Teruslah memimpin negara, rakyat yang jadi keutamaan. Ketika ini isu bajet yang diperbahaskan, bukannya isu kedudukan.

“Apa yang saya mahukan adalah rakyat di bawah ini mendapat pembelaan. Semuanya demi negara dan rakyat, saya tidak rasa tuduhan seperti ini membuktikan mereka kerajaan bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, adalah tidak wajar Umno, Barisan Nasional dan rakyat Sembrong menjadi kambing hitam dalam spekulasi membabitkan pertukaran kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

“Ia tidak ada kaitan dengan kita. PH harus selesaikan masalah dalam mereka secara sendiri. Saya tidak rugi apa-apa dalam hal ini.

“Hanya mereka yang rugi dan memperlihatkan mereka ini lemah. Kalau mereka kukuh, apa yang hendak ditakutkan sangat,” katanya.

Tiada ulasan: