Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Kandungan komik cuba nafi sejarah asal Tanah Melayu: UMMAH
KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa kerajaan menyiasat pihak yang
bertanggungjawab dalam penerbitan dan pengedaran Komik ‘Inisiatif Jalur
dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, yang didakwa disebarkan kepada
Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan di Pulau Pinang.
Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya
berkata, komik itu cuba menimbulkan keraguan dan menafikan sejarah asal
Tanah Melayu dan hak orang Melayu, malah memberi gambaran bahawa bangsa
lain juga mempunyai hak yang sama.
Beliau berkata, komik yang dianggap
propaganda DAP dalam mempengaruhi pelajar di peringkat sekolah itu cuba
menggambarkan sifat orang Melayu yang bodoh dan pengecut dalam proses
memerdekakan Tanah Melayu.
“Komik ini menggambarkan perjuangan Ko
Min Tang, Bintang Tiga dan komunis juga turut terbabit dalam proses
memerdekakan Tanah Melayu yang kita tahu adalah satu penyelewengan sama
sekali.
“Malah kandungan komik itu cuba
memasukkan perjuangan ideologi politik DAP ke sekolah-sekolah secara
jelas,” kata beliau ketika sidang media di Pejabat Muafakat di Taman
Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada masa sama, UMMAH membantah
pengedaran komik itu yang menggunakan instrumen kerajaan bagi memberikan
gambaran dan pengesahan seolah-olah ia mendapat kebenaran daripada
Pejabat Perdana Menteri.
Aminuddin yang juga Presiden Ikatan
Muslimin Malaysia (Isma) berkata, komik itu tidak mendapat kelulusan
Kementerian Dalam Negeri (KDN), apabila kementerian itu menafikan komik
terbabit mendapat semakan dan pengesahan untuk diterbit dan diedarkan.
“Oleh itu, UMMAH meminta kerajaan
menyiasat pihak yang bertanggungjawab terutamanya kepada pereka
karikatur ini, Dr Hew Kuan Yau dan Timbalan Menteri Pendidikan yang mana
tersebar di media sosial menunjukkan beliau menerima komik ini
seolah-olah mengiktiraf daripada penerbitnya.
“Kita menganggap tindakan itu satu
kesalahan yang bertentangan dengan prinsip keharmonian kaum di negara
ini yang mengubah bukan sahaja sejarah, malah fakta kemerdekaan,” kata
beliau.
Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih
Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan
Komik Asia. Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama
kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching
Po Ling.
Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan