Ahad, 27 Oktober 2019

Adakah PKM sudah lenyap?

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir

 

Pemimpin cuba bodohkan Melayu dengan kebebasan bersuara

SEJARAH keperitan bangsa Melayu semasa Bintang Tiga mengganas masih dekat dengan kita. Datuk nenek kita masih ada walaupun diusia yang lanjut mereka masih dapat menceritakan dengan jelas keperitan yang amat sukar untuk dilupakan.

Satu contoh untuk kita hayati. Modus operandi pembunuhan yang dilakukan oleh Bintang Tiga adalah dengan membawa bekas-bekas anggota Jookidam, ke tepi hutan dan disuruh menggali lubang. 

Jookidam (Pasukan Polis Jepun di Tanah Melayu) yang anggotanya terdiri daripada orang Melayu.Bekas anggota Jookidam inilah yang dijadikan sasaran oleh Bintang Tiga.

Mereka dipukul dengan kayu, besi atau belakang cangkul dan ditanam ke dalam lubang yang sudah siap digali. Mungkin ditanam hidup-hidup. Ada juga yang ditembak ditepi lubang dalam keadaan berlutut. Ada pula yang digantung selepas perbicaraan singkat tanpa pembelaan. Malah, tiada siapa yang berani membela kerana takut disyaki sebagai pembelot.

Dalam satu kes bekas anggota Jookidam bernama Mohd Isa telah ditangkap di Tanjung Piandang, Perak dan sebagai penyeksaan, daging pehanya telah dipotong sebanyak 3 tahil sehari dan penyeksaan ini berterusan sehinggalah beliau meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Hampir 10 ribu orang cedera termasuk 2500 meninggal dunia akibat kekejaman Bintang Tiga ini. Banyak lagi kekejaman yang boleh dipaparkan.

Persoalannya, adakah kumpulan ini telah lenyap di Malaysia atau mereka bersama parti-parti politik yang ada. Mereka bergerak dalam parti politik demokratik sebagai tabir untuk menutup ideologi mereka yang sebenar.

PKM adalah pengganas kepada negara ini. Bagaimana pula dengan mereka? Bukan sahaja ideologi komunis menjadi inspirasi mereka, malah penyokong pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) juga ada bersama mereka.

Dengan penangkapan beberapa orang pimpinan sudah cukup untuk kita mengetahui siapa mereka yang sebenarnya.

Pimpinan utama mereka menyesali bila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik yang didalamnya ada ideologi komunis. Apa yang kita faham dari pandangan ini?

Pada masa sama, pimpinan ini cuba memperbodohkan bangsa Melayu dengan mengatakan negara perlu kepada kebebasan bersuara. Nasib muslimin Uyghur masih terlihat depan kita.

Terlalu amat kejam dan zalim diperlakukan terhadap muslimin Uyghur. Tak perlu diulas disini. Muslimin Uyghur dizalimi oleh manusia yang berpegang dengan ideologi komunis. Jadi di Malaysia ini, siapa mereka yang sebenarnya?

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
Ydp Isma Pasir Puteh
Ketua Perhubungan Isma Kelantan

Tiada ulasan: