Dominasi Melayu dalam PH tak kuat, menggusarkan banyak pihak
BANGI
– Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyambut baik idea –
yang didakwa diketuai Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein – untuk mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah
Negara (PAN).
Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham
Abdul Aziz berkata, kerajaan baharu perlu dibentuk tanpa DAP dan PAN
yang mana boleh membawa negara ini ke arah yang lebih stabil.
“Kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN idea
yang bagus dan kita menyokong idea itu kerana keadaan negara yang
huru-hara disebabkan oleh permainan politik DAP yang melampau terutama
sekali dalam menghilangkan identiti negara,” katanya ketika dihubungi
Buletin Pertiwi semalam.
Badhrulhisham menjelaskan, sekiranya idea
kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN dilaksanakan, ianya tidak akan
menjejaskan masalah dari segi politik kaum itu sendiri.
Katanya, kestabilan politik bergantung
kepada sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia terutamanya
orang Melayu dengan kerjasama bukan Melayu dalam memimpin negara.
“Sebenarnya sudah jelas sepanjang 62
tahun kita merdeka, rakyat dapat melihat kestabilan politik bergantung
sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia dapat memimpin negara
malah keadilan dapat dilaksanakan dengan penyertaan bukan Melayu.
“Saya rasa tidak ada masalah dan ini
berlaku sebelum pemerintah PH lagi. Kita lihat dominasi orang Melayu
dalam kerajaan PH ini tidak menjadi satu perkara yang kuat, maka negara
dalam keadaan cukup menggusarkan banyak pihak, bukan sahaja dari segi
politik malah ekonomi juga.
“Justeru, kepimpinan orang Melayu yang
juga rakyat majoriti negara ini amat perlu dengan sokongan dan kerjasama
bukan Melayu sekali gus akan menjadikan negara kukuh pada masa akan
datang,” kata beliau.
Terdahulu, PH menerusi kenyataan mendakwa
Hishammuddin menggerakkan pakatan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP
dan PAN. Dakwaan itu dibuat susulan penulisan Hishammuddin dan
wawancaranya yang cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik
dan pentadbiran berasaskan kaum.
Bagaimanapun, Hishamuddin menafikan
dakwaan itu dan menganggap berlaku keretakan dalam parti berkenaan
sehingga cuba menjadikan pembangkang sebagai kambing hitam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan