Sabtu, 26 Oktober 2019

PRK Tanjung Piai: PH, BN dijangka lancar jentera kempen Isnin

 

PRK TANJUNG PIAI | Pakatan Harapan (PH) dan BN dilihat telah bersiap sedia dengan jentera mereka menjelang kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai yang bermula secara rasmi pada 2 Nov ini.

Kedua-dua gabungan parti itu dijadual akan melancarkan jentera kempen mereka pada Isnin ini dalam acara-acara berasingan.

PH juga dijangka mengumumkan calon bagi kawasan Parlimen itu dengan meletakkan calon dari Bersatu.

Bagaimanapun, BN dijangka melancarkan jentera kempen mereka tanpa mengumumkan calon kerana Umno dan MCA masih belum mencapai kata sepakat mengenai parti mana akan bertanding di kawasan itu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin akan merasmikan jentera PH dan mengumumkan calon parti itu di Pontian pada pukul 2 petang.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Pontian terletak bersebelahan dalam daerah Pontian.

Setiausaha Bersatu Johor, Solihan Badri mengesahkan majlis itu dan menyatakan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir juga akan hadir.
Bagaimanapun, katanya Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri, tidak akan berada pada majlis tersebut.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Mahathir akan melakukan lawatan rasmi ke Turkmenistan bermula hari ini dan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov akan menjadi tuan rumah dalam kunjungan perdana menteri di Istana Oguzkhan pada Isnin.

Dua jam selepas majlis itu, BN pula akan menganjurkan majlis mereka di ibu pejabat Umno Pontian di mana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Umno, Khaled Nordin kepada Malaysiakini.

Walaupun rundingan calon antara Umno dan MCA masih berlangsung, logo BN ​akan digunakan pada majlis pelancaran jentera pilihan raya tersebut.

Sumber BN mengesahkan Presiden MCA Wee Ka Siong juga akan hadir pada acara tersebut. Tidak jelas jika PAS juga akan hadir namun pengaruh parti itu tidak begitu kuat di Johor.

Tanjung Piai adalah kerusi tradisi milik MCA dan antara bekas anggota  parlimennya termasuk bekas Presiden MCA Ong Ka Ting.
Bagaimanapun, bekas penyandangnya, Wee Jeck Seng tewas kepada calon Bersatu Md Farid Md Rafik pada pilihan raya umum lepas dengan hanya 524 undi.

Wee menyatakan beliau bersedia bertanding sekali lagi tetapi akar umbi Umno melobi untuk diberikan kerusi itu kepada mereka.

Muhyiddin berada di Pontian sejak semalam untuk bertemu akar umbi parti dan penduduk tempatan.
Kedua-dua parti mengambil kesempatan bertumpu di kawasan itu memandangkan Deepavali jatuh pada hari Ahad dengan cuti umum diganti pada Isnin.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Md Farid meninggal dunia akibat serangan jantung bulan lalu.
Pengundi Tanjung Piai akan keluar mengundi pada 16 Nov.


Tiada ulasan: