Khamis, 31 Oktober 2019

BN susah nak menang, majoriti pengundi tak lagi sokong MCA

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Penyokong PAS, UMNO mungkin pilih PH atau tak keluar mengundi

BANGI – Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak tepat apabila meletakkan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan. 

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, walaupun Tanjung Piai pernah menjadi kerusi tradisi MCA, namun dari segi prinsip demokrasi, adalah lebih wajar meletakkan calon Melayu di kawasan yang penduduk majoritinya adalah Melayu. 

Malah, beliau turut menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, untuk bertanding dalam PRK itu sebagai jauh lebih tepat daripada tindakan BN.

“Pada prinsip demokrasi yang dilihat daripada perkembangan politik semasa, keputusan BN tidak begitu tepat kerana kawasan itu majoritinya adalah Melayu. 

“Pengundi Melayu sama ada penyokong PAS atau UMNO berkemungkinan akan bergerak kepada Bersatu. Atau mungkin mereka tidak keluar mengundi, maka peratusan mengundi akan menjadi rendah,” katanya ketika dihubungi Ismawet, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor yang juga Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya BN terdorong membuat keputusan sedemikian atas perkiraan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013, walhal majoriti pengundi Cina sendiri sudah tidak berpihak kepada MCA.

“Pada PRU14, lebih 90 peratus orang Cina telah memihak kepada PH terutamanya DAP. Ini berbeza dengan PRU sebelumnya di mana orang Cina masih memberikan undi kepada BN. Ia akan menjadi wajar untuk meletakkan calon MCA di Tanjung Piai jika senario politik kini masih sama seperti waktu itu.

“Tapi kini, untuk MCA menang mungkin sukar. Pengundi Melayu, pengundi Cina tidak akan berikan sokongan kepada MCA. Kalaulah menang pun majoriti sangat kecil.

“Ahli-ahli PAS juga, walaupun di pusat akan beri sokongan kepada MCA, tidak semua pengundi PAS akan berpihak kepada MCA kerana telah banyak isu berkaitan dengan Melayu dan Islam seperti isu RUU355 dan sebagainya telah mengguris hati mereka,” katanya.

Pada PRU-14, Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.

Beliau bagaimanapun sekali lagi diumumkan akan mewakili BN untuk PRK bulan depan. 
Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.


Tiada ulasan: