Oleh Fazleen Safina
PDRM perlu laksana siasatan tanpa ada ketakutan, berat sebelah
BANGI – Jangan campur tangan urusan pihak keselamatan jika DAP – parti yang
paling dominan dalam kerajaan Malaysia – tidak mahu dilihat sebagai
pelindung penjenayah dan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil
Eelam (LLTE).
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah
Mat Nawi berkata, parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) juga
perlu bersikap tegas dengan campur tangan pemimpin DAP, supaya kerajaan
juga tidak terpalit dengan isu berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu juga penting bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan rakyat di negara ini.
“Jadi ia adalah isu penting dan kalau
kerajaan tak mahu dilihat sebagai pelindung kepada penjenayah, mereka
sepatutnya tidak mengganggu sebarang siasatan daripada pihak polis
ataupun mana-mana pihak berkuasa yang lain,” katanya ketika dihubungi
Ismaweb, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas campur
tangan pimpinan tertinggi DAP seperti Lim Guan Eng, Charles Santiago, P
Ramasamy dan M Kula Segaran yang menafikan serta mempersoalkan penahanan
beberapa ahli politik parti berkenaan kerana disyaki terbabit LTTE.
Sebelum ini, polis menahan lima lagi
individu termasuk seorang guru kerana disyaki terbabit dalam mempromosi,
menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE,
menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis
lepas kepada 12 orang.
Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mengulas lanjut, Che Abdullah turut
mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bertolak ansur
dengan perkara berkaitan pengganas.
Justeru, beliau mengharapkan supaya Polis
Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan yang menyeluruh tanpa
dengan mengamalkan konsep ‘No Fear No Favour’ (tiada ketakutan dan tiada
berat sebelah).
“Oleh itu, pihak PDRM juga harus diberi
kuasa dan mandat sebenar untuk menyiasat, dan saya juga menyokong pihak
polis untuk meneruskan siasatan ini,” katanya.
LTTE mencetuskan pemberontakan pemisah
untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila
golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan
minoriti.
Kumpulan pemberontak itu yang dilaporkan
tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan
Kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas
dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan