PARLIMEN | Dewan Rakyat gamat lagi hari ini dengan pertengkaran di antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.
Situasi itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, menggantung Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selama dua hari.
“Dia tak layak, dia menteri broker. Kalau dia jawab, kami panas. Dia jual Kampung Baru,” celah Shahidan.
“Kalau panas keluarlah,” balas Khalid.
Khalid sebelum ini mengumumkan kerajaan menawarkan harga RM850 sekaki persegi untuk pengambilalihan tanah di Kampung Baru sebelum ia dibangunkan.
Pada 25 Okt lalu Kementerian Wilayah Persekutuan membuat tawaran baru iaitu RM1,000 sekaki persegi, dengan RM150 daripadanya ditawarkan dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (PSV).
Diberi amaran beberapa kali
“Pemimpin-pemimpin parti Melayu, yang 60 tahun pegang pemerintahan, dia bangga, dia kekalkan Kampung Baru dalam keadaan mundur …” kata Khalid.
Ketika itulah, Tajuddin dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang) bangkit meluahkan kemarahan.
“Memang kita bangga ini tempat Melayu. You tak bangga ke? Ini Melayu punya. Melayu punya you tak bangga? Bodoh!” laung Tajuddin.
Situasi itu berlanjutan biarpun timbalan speaker memberi amaran beberapa kali agar wakil rakyat bertenang, sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk menggantung Tajuddin.
“Bentara sila jalankan tugas, saya minta Pasir Salak keluar, dua hari,” katanya.
Dewan kembali gamat selepas pengumuman tersebut dibuat, malah Tajuddin juga enggan berganjak dari tempat duduknya.
“Saya tetap dengan keputusan saya tapi Pasir Salak boleh duduk, saya minta menteri terus bercakap, tapi saya dah buat keputusan untuk Pasir Salak (digantung) untuk dua hari,” katanya.
Hanya setelah beberapa ketika, barulah Khalid dapat menyambung ucapannya, sementara Tajuddin terus dibiarkan duduk di dalam dewan.
Namun, keadaan tetap kembali gamat beberapa kali di sepanjang masa Khalid meyampaikan ucapannya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan