Selasa, 29 Oktober 2019

Maut dirempuh, diseret ambulans

Dziyaul Afnan Abdul Rahman
 
 

PENUNTUT universiti awam (UA) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebelum diseret sejauh 15 meter oleh ambulans hari ini.

Kejadian berlaku di Kilometer 10 Jalan Kangar - Alor Setar di Kampung Permatang Pauh 2 petang tadi.

Siti Faieza Idzuana Abdullah, 20, dari Kampung Kechik Gunung Medan, Utan Aji maut di lokasi akibat parah anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, siasatan mendapati mangsa dan ambulans dari arah sama menuju ke bahagian selatan Perlis.

Bagaimanapun setibanya di lokasi, mangsa dikatakan memperlahankan motosikalnya untuk membelok ke kanan.

“Namun ambulans dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Mangsa turut diseret sejauh 15 meter pada bahagian tepi ambulans sebelum van itu terbabas ke parit berhampiran,” katanya.

Wari berkata, ketika kejadian, cuaca baik selain jalan lurus dan tidak licin.

“Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tiada ulasan: