Selasa, 29 Oktober 2019

Dia ahli PKR tapi Anwar tak bersuara pun - isteri OKT

 
Isteri A Kalaimughilan tidak dapat menahan sebak selepas suaminya diheret ke mahkamah atas dakwaan memiliki video yang berkait dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

M Tamilmalar juga mempersoalkan kenapa PKR, parti yang disertai suaminya, tidak bersuara dalam kes itu.

"Ini bukan kes Sosma tahu? Kenapa mereka mendakwa suami saya di bawah Sosma? Kes ini bukan Sosma.
 
 
"Tapi dia kata macam Sosma, suami saya macam pengganas. Sebelum ini dia pun ada (sertai) PKR. Bapa dia pun ada dalam PKR.

“Dia ada buat banyak acara untuk PKR.

“Tapi sekarang ini, Anwar (Ibrahim) dan siapa pun tak bersuara untuk suami saya," katanya sambil menahan tangis kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Semakan dengan daftar keahlian PKR menunjukkan dia merupakan anggota cabang Kepong sejak 2010.

Mahkamah tidak membenarkan permohonan ikat jamin Kalaimughilan, menyebabkan dia akan kekal dalam tahanan polis sehingga sebutan kes 16 Disember depan.
Anwar Ibrahim (kanan)
Kalaimughilan sebelum ini ditahan tanpa bicara selama 19 hari bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Tamilmalar berkata suaminya bukan pengganas.

"Tolong bantu suami saya!

"Suami saya bukan pengganas. Tolong bantu keluarga kami," katanya lagi sambil menangis.

Orang kena tuduh (OKT), Kalaimughilan, 28, bekerja sebagai pengutip besi buruk.

Dia hari ini didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Semakan tolak ikat jamin

Di mahkamah hari ini, peguam yang mewakili Kalaimughilan, V Yoges memohon ikat jamin di hadapan hakim Maziah Joary Mohd Tajudin namun ditolak.

Sukarelawan biro undang-undang MIC juga memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi namun sekali lagi ditolak pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman berkata kes tersebut hanya boleh dipertimbang untuk dipindahkan sekiranya terdapat surat keizinan daripada pihak pendakwaan.

Memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu “beberapa laporan”, Rohaiza berkata mereka tidak boleh untuk memberi izin kepada permohonan tersebut.

Yoges kemudiannya menegur pihak pendakwaan kerana mendakwa anak guamnya walaupun masih terdapat beberapa laporan yang belum lengkap.
Kalaimughilan ketika hadir di mahkamah hari ini
Dia juga menggelar penyiasatan itu sebagai “separuh masak”.

Bercakap kepada media selepas itu, Yoges memberitahu dia mempertimbangkan untuk menghantar semakan bagi penolakan ikat jamin tersebut.

Ini kerana katanya hukuman maksimum untuk kesalahan itu tidak terlalu berat jika dibandingkan dengan kesalahan lain.

Tambahan, katanya Kalaimughilan bukanlah seorang yang boleh melarikan diri dan tidak mampu untuk mengusik barang bukti memandangkan pihak polis sudahpun merampas kesemua barangan yang dimiliki untuk siasatan itu.

Yoges turut menjelaskan anak guamnya tidak pernah melakukan sebarang tindakan berkaitan pengganas walaupun memiliki bahan berkaitan LTTE, yang disyakinya sebagai “video” dari 2014.

"Mengikut undang-undang, ikat jamin sepatutnya dipertimbangkan dan diberikan [...] kerana tiada apa yang dilakukan dengan video tersebut.

"[...] saya faham ia adalah Sosma dan keselamatan negara, tetapi mahkamah sepatutnya melihat berapa jauh (video) itu mengancam keselamatan negara.

"Apa yang telah dilakukan dengan video itu? Apakah impak video itu?" soalnya lagi.

 Penangkapan Kalaimughilan pada 10 Okt lalu adalah sebahagian daripada penangkapan besar-besaran bagi membanteras kegiatan berkait LTTE yang menyaksikan lebih 12 individu ditahan.

Dua ahli dewan undangan negeri PKR, P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek) juga turut ditahan dalam operasi tersebut.

Kedua-mereka dan Kalaimughilan adalah antara 10 individu yang didakwa hari ini.


Tiada ulasan: