Ketua pembangkang Ismail Sabri hari ini mengecam Pakatan Harapan (PH) yang didakwa "membeli undi" menjelang PRK Tanjung Piai, di sebalik kenyataan beberapa pemimpinnya bahawa peruntukan yang diumumkan untuk parlimen itu hanyalah kebetulan.
Menyangkal justifikasi itu, Ismail berkata kerajaan ada satu setengah tahun untuk mengumumkan sebarang peruntukan tetapi hanya melakukannya sekarang.
"Dulu mereka kata jangan beli undi sebelum pilhan raya, jangan gunakan jentera kerajaan dan kedudukan dalam kerajaan untuk beli undi. Tetapi sekarang mereka mula beli undi.
"Pergi sana umum peruntukan RM4-5 juta untuk apa? Kenapa sekarang dan bukan sebelum pilihan raya?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pada 13 Oktober, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan - termasuk pembinaan sebuah dewan - di Kukup, Tanjung Piai.
Zuraida berkata peruntukan sudah diluluskan sebelum ini, dan hanya ke sana bagi memastikan kerje-kerja terus berjalan walau setelah kematian anggota parlimennya, Allahyarham Md Farid Md Rafik.
Menteri Belia dan Sukan juga memberi hujah sama ketika mengumumkan peruntukan RM4 juta unguk penambahbaikan kemudahan sukan dan reakreasi di Tanjung Piai pada Sabtu lalu.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta yang dimohon MD Farid sebelum ini.
Semalam pula, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub mengumumkan dana RM3 juta untuk menambah baik tiga jeti di Tanjung Piai, dan sekali lagi dikatakan ia untuk memenuhi permohonan Md Farid.
"Allahyarham ada bincang dengan saya tentang isu ini, yang kita patut tolong orang kampung.
"Apa yang kami nak lakukan adalah berdasarkan tanggungjawab yang selalu kita tunaikan, dan bukan di musim berlakunya pilihan raya," katanya.
Katanya lagi, beliau tidak boleh menyekat peruntukan hanya kerana PRK itu.
"Peruntukan sudah sampai, saya kena umumkan. Takkan nak tunggu sebab saya alah dengan PRK dan takut umum peruntukan (bila ada PRK)," katanya lagi.
Farid, 43, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada 21 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November ini untuk penamaan calon, dan 16 November untuk hari mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan