Sabtu, 26 Oktober 2019

Akar umbi PKR, aktivis kutip tandatangan untuk mansuh Sosma

Seorang pemimpin akar umbi PKR bersama seorang aktivis melancarkan kempen mengutip 100,000 tandatangan bagi menggesa kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang disifatkan zalim.

Menurut Timbalan Ketua PKR Cabang Tapah, K Ramachandran, beliau bersama aktivis hak komuniti India, Shankar Ganesh Siridharan akan menyerahkan tandatangan itu kepada Majlis Raja-Raja dalam usaha menggesa kerajaan memansuhkan Sosma.

"Sosma merupakan satu akta yang menindas hak asasi manusia. Bagi pendapat saya ia adalah sejenis akta yang diguna pakai untuk agenda politik.

"Jadi, kami melancarkan kempen mengutip 100,000 tandatangan bagi tujuan mansuhkan akta ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangsar, hari ini.

Sementara itu, Ramachandran berkata pihaknya akan menemui semua aanggota parlimen dan 70 anggota Dewan Negara untuk mendapatkan tandatangan mereka.

"Tujuannya adalah untuk mendapatkan apakah majoriti wakil rakyat Malaysia bersetuju atau tidak setuju mansuhkan Sosma.

"Mereka mempunyai kuasa untuk mengekalkan atau mansuhkan Sosma. Jadi, kami akan mengutip tandatangan mereka termasuk perdana menteri sebagai ahli parlimen," katanya.

Tambahnya, mereka menetapkan minggu pertama Januari tahun depan untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada Majlis Raja-Raja.

Mereka turut memberitahu akan meminta bantuan Majlis Peguam Malaysia, Lawyers For Liberty, Suaram, Sisters In Islam, PSM serta sukarelawan dari seluruh Malaysia bagi menjayakan kempen ini.

Sosma, yang membenarkan penahahanan tanpa bicara sehingga 48 hari sekali lagi mendapat perhatian apabila polis menahan 12 individu termasuk dua Adun DAP kerana dikaitkan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan polis tidak mempunyai pilihan lain.


Tiada ulasan: