Politik bodoh akan berulang, yang rugi tentu orang Melayu Islam
BANGI– “Sudah tiada calon lain nak bertanding? Jika calon MCA sekali pun
carilah individu seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong.
“Bukan calon ‘recycle’ yang kita sudah
tahu pendirian dia terhadap Melayu dan Islam,” luah pendakwah bebas,
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Beliau mengakui kecewa tindakan Barisan
Nasional (BN) memilih calon daripada parti perkauman MCA, Datuk Seri Wee
Jeck Seng bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.
Difahamkan, pemilihan Jeck Seng sebagai
calon bagi PRK berkenaan adalah keputusan sepakat yang telah dicapai
bersama seluruh kepimpinan BN.
Ridhuan Tee menyifatkan, UMNO melakukan
kesilapan besar dengan meletakkan calon ‘recycle’ yang sudah terkenal
dengan sifat ultra kiasu itu.
“Kecewa yang teramat apabila mendapat
berita UMNO memilih MCA untuk bertanding di Tanjung Piai, mungkin kerana
telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya
BN.
“Hina sangat UMNO jika termakan dengan
ugutan ini. Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua
Ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, reda dan
hadapilah dengan penuh tabah.
“Jika tidak, sampai PRU15 nanti, pasti
politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang
membodohkan kita sebagai orang Islam. Yang rugi sudah tentu bukan MCA,
tetapi adalah parti orang Melayu seperti UMNO dan PAS,” katanya.
Ridhuan Tee bagaimanapun mengakui tidak
semua ahli MCA bersikap ultra kiasu, namun malangnya mereka yang baik
tidak menjadi pemimpin utama.
“Rata-rata yang memimpin adalah ultra
kiasu. Mereka ini jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak
mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak
sosial. Terus pertikaikan, ugut dan desak. Sampai bila kita mahu menjadi
pengemis kepada MCA?
“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai
bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga
saya. Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra
kiasu.
“Cina baik adalah Cina seperti mendiang
Profesor Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong dan lain-lain lagi. Manakala,
Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam parti ultra kiasu seperti
MCA, Gerakan dan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata,
sekiranya parti berkenaan tidak ultra kiasu, sudah tentu mereka akan
bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial
yang telah menghasilkan Perlembagaan negara.
“Contoh-contoh yang biasa kita dengar
seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan
Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan