Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Jadikan pembangunan Kampung Gelam di Singapura sebagai contoh
BANGI – Kerajaan disyor membangunkan tanah Kampung Baru dengan cara
pembangunan lebih ‘mesra’ kepada Melayu, selaras dengan objektif asal
tanah itu yang dikurniakan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin
Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).
Justeru,
Pensyarah Jabatan Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak meminta kerajaan mengekalkan
Kampung Baru sebagai warisan turun-temurun Melayu serta memastikan
kelangsungan survival dan keberadaan masyarakat Melayu selaku komuniti
di Kuala Lumpur.
“Inisiatif
ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelancong dalam
mengenali kebudayaan dan adat masyarakat Melayu,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau turut
memberi contoh di Singapura, apabila kerajaannya mengambil alih kawasan
penempatan Melayu iaitu Kampung Gelam di tengah-tengah Singapura pada
tahun 2002.
Beliau
berkata, tanah itu adalah milik keturunan bekas Sultan Johor-Riau yang
diturunkan daripada takhta pada tahun 1819 oleh Sir Stamford Raffles.
Bahkan,
tanah itu sempat menjadi polemik tidak hanya dalam kalangan masyarakat
Melayu di Singapura, tetapi juga menarik perhatian masyarakat Melayu di
Malaysia.
“Namun
begitu, tanah perkampungan tersebut telah diambil oleh Kerajaan
Singapura dan dibangunkan dengan Pusat Kebudayaan Melayu Singapura,”
katanya.
Tanah
Kampung Baru yang dahulunya berstatus tanah rizab pertanian Melayu mahu
dibeli oleh pihak kerajaan untuk tujuan pembangunan.
Sebelum ini,
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar
baharu bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu
kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan
yang dipilih pemilik tanah sama ada dalam bentuk tunai; tunai dan aset;
aset sahaja; atau saham.
Sementara
baki RM150 lagi, beliau berkata, pulangannya adalah berbentuk pegangan
saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.
Khalid juga
berkata, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran
RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan