Sabtu, 26 Oktober 2019

Surat terbuka buat Dr Mahathir

Mohamad Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

Surat Terbuka Kepada Tun Mahathir


Saya doakan Tun senantiasa dalam peliharaan Ilahi jua,

Biarlah saya mulakan warkah ini dengan mengimbau Ucapan Dasar YAB Tun dalam Mesyuarat Agung BERSATU pada hujung tahun lepas. Berulang-ulang kali Tun menyatakan bahawa UMNO sudah mati; hayatnya sekarang di dalam kehinaan dan tidak berdaya untuk dipulih semula, lalu Tun berkata;

“Hari ini, mereka (UMNO) hancur berkecai kerana perbuatan mereka sendiri.”

Kemudian beberapa bulan lepas, Tun pula menyeru agar ahli UMNO yang teruk dan rosak itu untuk menyertai BERSATU. Tun serukan agar semua parti politik Melayu kembali bertaut demi kelangsungan bangsa.

Tun juga akui bahawa kekuatan politik Melayu pada waktu ini sangat lemah dan susut. Itulah yang Tun nyatakan dalam Kongres Maruah Melayu yang didalangi oleh BERSATU beberapa minggu lepas. Sekarang, Tun pula berusaha menarik sokongan Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Tun.
Pendirian Tun dalam semua ini sangatlah mengelirukan kami.

Setelah segala macam kata kesat, nista dan melukakan hati di ucapkan kepada kami, nah sekarang ini Ahli Parlimen UMNO pula yang Tun pergunakan demi kelangsungan politik Tun.

Masakan Tun boleh izinkan politik keji tanpa pendirian, harga diri dan tidak beretika ini mendepani masa depan kepimpinan Malaysia?

Dengan sopan, kami nyatakan bahawa tindakan meraih sokongan dan mengheret ahli Parlimen UMNO ke kancah konflik dalaman Pakatan Harapan adalah sangat tidak elok. Ia pasti akan menghancurkan sistem nilai dan politik berbudaya tinggi yang ingin kita suburkan pasca PRU 14.
Tun yang Dihormati;

Sebagai seorang Muslim, kita wajib mengesakan Allah S.W.T. Tiada satu pun yang setanding dengan-Nya, dan tiada satu pun yang boleh menjadi ganti-Nya.

Namun begitu, budaya politik Melayu kini terus-menerus mengesakan wang, individu dan naungan.

Inilah penyakit yang telah mencederakan UMNO. Dan inilah juga budaya yang meresapi parti-parti Pakatan Harapan terutamanya BERSATU.

Lihat sahaja bagaimana ahli politik BERSATU sendiri membenarkan ahli politik tertentu menggunakan jawatan Perdana Menteri sebagai dagangan. Maka timbullah pelbagai kelompok yang gigih meraih sokongan untuk Tun bagi meneruskan jawatan selama sepenggal.

Alasan mereka ialah untuk menyelamatkan Tun daripada dominasi DAP. Tetapi mereka lupa bahawa keputusan untuk bekerjasama dengan DAP adalah keputusan Tun sendiri dan bukan keputusan orang lain.

Menyokong, bekerjasama dan mentadbir negara ini dengan DAP adalah pilihan Tun. Tiada seorang pun berkewajipan untuk menyelamatkan Tun dari belenggu DAP ini.

Malah suka saya mengingatkan Tun bahawa DAP lah yang telah meletakkan Tun di kedudukan Perdana Menteri sekali lagi dan bukannya orang Melayu.

Tun, Melayu tidak akan lupa bagaimana Tun lah yang sanggup mendakap dan merangkul erat DAP sebagai sekutu politik.

Tun lah yang telah melantik DAP ke jawatan-jawatan strategik, seakan memberikan taring dan kuku tajam untuk DAP membaham Melayu sehabis mungkin.

Tun lah yang memberikan ruang untuk ‘Malaysian Malaysia’ berkembang luas dengan jenama, ‘Malaysia Baru’.

Tun lah menganggap DAP boleh dibawa berunding dan ‘dijinakkan’ namun lihatlah, apa yang berlaku sekarang amat berbeza sekali.

Tun Mahathir,

Orang Melayu sangat arif dengan segala wayang yang disutradarakan. Untuk makluman, wayang tersebut tidak lagi akan menjadi tontonan orang Melayu.

Mereka tidak akan terhibur, apa lagi yakin dengan adegan-adegan yang Tun paparkan. Kononnya Tun lah yang lebih Melayu dari semua orang Melayu. Kononnya Tun menjadi mangsa kepada sifat cauvinis dan anti-Melayu DAP.

Padahal Tun lah yang memberi muka dan peluang kepada DAP untuk bermaharajalela. Tun adalah punca Melayu hilang kuasa politik dan kehormatannya.

Tetapi, atas apa yang berlaku ini, Tun mengambil pendirian untuk terus berdiam diri. Dan kadang kala mengeluh seolah-olah dimangsakan oleh DAP.

Tun, wajarkah masa depan bangsa kita diperdagangkan sebegini rupa? Wajarkah politik bangsa Melayu direndahkan seperti ini?

Tun yang Budiman;

Negara ini memerlukan pemimpin yang membawa kedinginan dan rasa tenteram kepada rakyat. Masa depan Malaysia bukan untuk percaturan politik elitis demi kelangsungan penggal pemerintahan Tun sahaja!

Malaysia mesti pergi lebih jauh dari hanya memerlukan Tun sebagai penyelamat. Dan setelah hampir 18 bulan, saya rasa Tun tidak mempunyai solusi untuk Malaysia dan masa hadapannya.

Tanpa terkurang sekelumit hormat saya pada Tun, saya ingin katakan: Pemimpin yang diperlukan oleh Malaysia bukan lagi diri Tun.

Malaysia memerlukan generasi pemimpin baru untuk mengemudi tanah air ini. Gerombolan terbaik yang mampu membawa pesona dan pemikiran lebih meyakinkan untuk Malaysia.

Malaysia saat ini merindukan kehadiran sang pencerah. Bukan terus menua dengan pendirian, leteran dan bebelan Tun yang tetap sama seperti 40 tahun dahulu.Tun, mungkin wajar kita meminjam slogan kempen Jokowi, iaitu #putih adalah kita. Slogan ini harus menjadi gerakan nasional yang baru.

‘Putih adalah Kita’ merupakan laungan nyaring kesedaran moral rakyat melawan politik hitam dan tercela. ‘Putih adalah Kita’ ialah seruan untuk kita mengembalikan negara ini ke pangkuan pemimpin yang benar-benar layak, jujur dan amanah.

Insya-Allah kami sangat yakin dengan keperibadian Tun yang ikhlas, bersih dan sangat berwibawa. Tetapi masa depan Malaysia lebih penting dan menjadi keutamaan kami.

Ketahuilah, UMNO tidak akan sekali-kali menolong Tun dan penyokong-penyokong tegar Tun, yang memperjudikan masa depan orang Melayu dengan tiada pertimbangan waras dan rasional. Apalagi kerana Tun dan BERSATU dipayungi oleh DAP dan bukannya orang Melayu.

Saya titipkan pesan, jangan sampai wayang yang dimainkan Tun ini memakan diri sendiri, tatkala Tun meniti hujung usia.

Tun, saya akhiri dengan rasa terima kasih atas sumbangan luar biasa pada watan dan bangsa tanpa kenal lelah. Namun begitu, saya tetap pasti bahawa Pakatan Harapan harus dikalahkan kerana dukungannya pada DAP dan diperalatkan olehnya.

*Mohamed Khaled Nordin(MKN) Naib Presiden UMNO

Tiada ulasan: