12,000 'orang luar' akan tinggal di Malaysia jika PH turunkan syarat
BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bimbang terhadap penurunan syarat
pemilikan rumah bagi warga asing yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan
(PH), baru-baru ini.
Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya
berkata, keputusan kerajaan itu hanya membuka peluang kepada warga asing
untuk membeli dan memiliki 4,000 kondominium di negara ini.
Beliau berkata, jika semua rumah adalah
pemilikan asing, bermakna sekurang-kurangnya 4,000 warga asing akan
bertambah di negara ini – di mana majoritinya adalah dari Hong Kong,
Singapura dan China.
“Kalau setiap rumah tersebut didiami oleh
suami dan isteri serta seorang anak, bermakna kita akan ada 12,000
orang asing akan tinggal disini.
“Apakah ini polisi yang baik untuk
melindungi rakyat atau polisi sekadar mahu memberi untung kepada
syarikat pemaju?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan
menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan
bandar daripada RM1 juta kepada RM600 ribu pada tahun 2020 untuk
pemilikan asing.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata,
ini bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri tidak terjual
yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.
“Kerajaan akan menurunkan nilai ambang
bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta
kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing,” katanya ketika
pembentangan Belanjawan 2020, pada 11 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan