Adik mangsa nahas bas Turki masih tunggu tindakan lanjut urusan PKNS
KUALA LUMPUR
– Keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan bas di Turki semalam,
meminta semua pihak memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.
Azhar Miswan, 47, berkata, ketika ini
keluarga masih terkejut dengan berita kemalangan yang menyebabkan abang
sulungnya Azalan Miswan maut manakala kakak iparnya, Wan Faridah Ahmad
cedera.
“Sebagai menghormati ibu bapa kami yang
masih bersedih, kami berharap semua pihak khususnya media memberi ruang
kepada keluarga untuk bertenang.
“Ketika ini, kami masih menunggu
keputusan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk
tindakan selanjutnya berhubung urusan abang dan kakak ipar saya di
sana,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan
semalam, Azalan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia
terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke
Cappadocia.
Azhar berkata, sudah pasti keluarga mahu
jenazah abangnya dibawa pulang namun, masih menunggu keputusan daripada
pihak kedutaan dan PKNS mengenai perkara itu.
Beliau berkata, kakak iparnya ada
menghubungi keluarga lewat malam tadi dan memaklumkan keadaannya stabil
namun tidak sempat bercerita lanjut mengenai kejadian itu.
“Kali terakhir berjumpa abang kira-kira
dua minggu lalu dan dia berpesan supaya menjaga kedua ibu bapa kami yang
sudah uzur…tiada yang pelik kerana itu pesanan yang sering
diingatkannya,” katanya.
Jelasnya, Azalan yang juga anak sulung
daripada tujuh beradik, mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan,
masing-masing berumur 15, 23, dan 26 tahun. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan