Wednesday, October 2, 2019

Pemuda Umno nafi fitnah TH jual aset, tuntut Mujahid mohon maaf

Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) berkata, sebagai menteri, Mujahid 
Yusof Rawa perlu berjiwa besar dan menerima gesaan dengan 
hati terbuka, bukannya melatah serta membuat tuduhan melulu.
 
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa memohon maaf, selepas menolak dakwaan pihaknya memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) menjual aset dan ekuiti strategik berjumlah RM2.6 bilion.

Beliau turut menggesa Mujahid menjelaskan laporan penjualan ekuiti itu di akhbar dan portal berita.

“Sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan saya (semalam), desakan menuntut penjelasan segera daripada menteri adalah penting bagi memastikan keyakinan para pendeposit tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata, tindakan pihak yang menyerang TH dengan kenyataan tidak benar untuk memburukkan kerajaan ibarat lebai malang yang marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Beliau juga memberi masa seminggu kepada Asyraf untuk meminta maaf secara terbuka berhubung dakwaan itu.

TH dalam kenyataan semalam turut menegaskan ia tidak pernah menjual ekuiti berjumlah RM2.6 bilion, termasuk semua pegangan saham TH dalam TNB yang bernilai RM1.8 bilion.

Sebaliknya, nilai ekuiti domestik TH meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada akhir 2018, kepada RM7.48 bilion setakat 27 September lalu.

Hari ini, Asyraf berkata, Najib Razak dan penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Prof Madya Abu Sofian Yaacob turut meminta penjelasan berhubung TH.

Oleh itu, beliau menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mujahid dalam masa seminggu bermula hari ini dan menarik balik dakwaan beliau sengaja meruntuhkan TH.

“Sebagai menteri, seharusnya Mujahid menerima gesaan dengan hati terbuka dan berjiwa besar, bukannya melatah dengan membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan melulu.”

No comments: