PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak terus membuat hantaran di Facebook mempersoalkan DAP selepas ketua menteri Pulau Pinang dan ketua pemuda DAP menafikan parti itu mempunyai apa-apa kaitan dengan sebuah komik.
Dalam tulisan di media sosial itu Najib berkata, “seorang bernama Lim Guan Eng” yang menggunakan gelaran menteri kewangan dan setiausaha agung DAP menulis prakata dalam komik tersebut.
Beliau juga menaikkan gambar prakata komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” oleh bekas pemimpin DAP Hew Kuan Yau.
“Nama komik, nama Hew Kuan Yau dan nama PM ke-7 turut disebut oleh orang bernama Guan Eng ini.”
Najib menggesa Lim Guan Eng dan bapanya, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi penjelasan.
Dalam pada itu, pemeriksaan oleh FMT mendapati halaman Facebook Hew telah dinyahaktifkan.
Antara pihak yang mengkritik keras Hew adalah ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menuduh beliau bersikap perkauman kerana memperkecilkan pihak yang menyokong kaum minoriti Uighur di China sebagai “ekstremis”.
Buku komik itu juga terdapat dalam satu gambar foto yang dipaparkan oleh Hew menunjukkan Presiden China Xi Jinping meneliti komik berkenaan semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersempena Forum Jalur dan Jalan di Beijing, April lepas.
Jabatan Perdana Menteri sebelum ini berkata Mahathir tidak terlibat dalam penerbitan buku komik itu dan tidak maklum tentang kandungannya.
Ia juga berkata perdana menteri tidak memberi kebenaran gambarnya digunakan untuk apa-apa tujuan.
No comments:
Post a Comment