Isteri A Kalaimughilan tidak dapat menahan sebak selepas suaminya diheret ke mahkamah atas dakwaan memiliki video yang
berkait dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
M Tamilmalar juga mempersoalkan kenapa PKR, parti yang disertai suaminya,
tidak bersuara dalam kes itu.
"Ini bukan kes Sosma tahu? Kenapa mereka mendakwa suami saya di bawah
Sosma? Kes ini bukan Sosma.
"Tapi dia kata macam Sosma, suami saya macam pengganas. Sebelum ini dia
pun ada (sertai) PKR. Bapa dia pun ada dalam PKR.
“Dia ada buat banyak acara untuk PKR.
“Tapi sekarang ini, Anwar (Ibrahim) dan siapa pun tak bersuara untuk suami
saya," katanya sambil menahan tangis kepada pemberita di Mahkamah Sesyen
Selayang hari ini.
Semakan dengan daftar keahlian PKR menunjukkan dia merupakan
anggota cabang Kepong sejak 2010.
Mahkamah tidak membenarkan permohonan ikat jamin Kalaimughilan,
menyebabkan dia akan kekal dalam tahanan polis sehingga sebutan kes 16 Disember
depan.
Anwar Ibrahim (kanan)
Kalaimughilan sebelum ini ditahan tanpa bicara selama 19 hari bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sementara itu, Tamilmalar berkata suaminya bukan pengganas.
"Tolong bantu suami saya!
"Suami saya bukan pengganas. Tolong bantu keluarga kami," katanya
lagi sambil menangis.
Orang kena tuduh (OKT), Kalaimughilan, 28, bekerja sebagai pengutip besi
buruk.
Dia hari ini didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a)
Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau
denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit
kesalahan.
Semakan tolak ikat jamin
Di mahkamah hari ini, peguam yang mewakili Kalaimughilan, V Yoges memohon
ikat jamin di hadapan hakim Maziah Joary Mohd Tajudin namun ditolak.
Sukarelawan biro undang-undang MIC juga memohon agar kes tersebut
dipindahkan ke Mahkamah Tinggi namun sekali lagi ditolak pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman berkata kes tersebut hanya boleh
dipertimbang untuk dipindahkan sekiranya terdapat surat keizinan daripada pihak
pendakwaan.
Memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu “beberapa laporan”, Rohaiza
berkata mereka tidak boleh untuk memberi izin kepada permohonan tersebut.
Yoges kemudiannya menegur pihak pendakwaan kerana mendakwa anak guamnya
walaupun masih terdapat beberapa laporan yang belum lengkap.
Kalaimughilan ketika hadir di mahkamah hari ini
Dia juga menggelar penyiasatan itu sebagai “separuh masak”.
Bercakap kepada media selepas itu, Yoges memberitahu dia mempertimbangkan
untuk menghantar semakan bagi penolakan ikat jamin tersebut.
Ini kerana katanya hukuman maksimum untuk kesalahan itu tidak terlalu berat
jika dibandingkan dengan kesalahan lain.
Tambahan, katanya Kalaimughilan bukanlah seorang yang boleh melarikan diri
dan tidak mampu untuk mengusik barang bukti memandangkan pihak polis sudahpun
merampas kesemua barangan yang dimiliki untuk siasatan itu.
Yoges turut menjelaskan anak guamnya tidak pernah melakukan sebarang
tindakan berkaitan pengganas walaupun memiliki bahan berkaitan LTTE, yang
disyakinya sebagai “video” dari 2014.
"Mengikut undang-undang, ikat jamin sepatutnya dipertimbangkan dan
diberikan [...] kerana tiada apa yang dilakukan dengan video tersebut.
"[...] saya faham ia adalah Sosma dan keselamatan negara, tetapi
mahkamah sepatutnya melihat berapa jauh (video) itu mengancam keselamatan
negara.
"Apa yang telah dilakukan dengan video itu? Apakah impak video
itu?" soalnya lagi.
Penangkapan Kalaimughilan pada 10 Okt lalu adalah sebahagian
daripada penangkapan besar-besaran bagi membanteras kegiatan berkait LTTE yang
menyaksikan lebih 12 individu ditahan.
Dua ahli dewan undangan negeri PKR, P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G
Saminathan (Gadek) juga turut ditahan dalam operasi tersebut.
Kedua-mereka dan Kalaimughilan adalah antara 10 individu yang didakwa hari
ini.
No comments:
Post a Comment