Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Penyokong PAS, UMNO mungkin pilih PH atau tak keluar mengundi
BANGI – Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak tepat apabila
meletakkan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon untuk bertanding pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.
Penganalisis
politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, walaupun Tanjung
Piai pernah menjadi kerusi tradisi MCA, namun dari segi prinsip
demokrasi, adalah lebih wajar meletakkan calon Melayu di kawasan yang
penduduk majoritinya adalah Melayu.
Malah,
beliau turut menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ketua
Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai,
Karmaine Sardini, 66, untuk bertanding dalam PRK itu sebagai jauh lebih
tepat daripada tindakan BN.
“Pada
prinsip demokrasi yang dilihat daripada perkembangan politik semasa,
keputusan BN tidak begitu tepat kerana kawasan itu majoritinya adalah
Melayu.
“Pengundi
Melayu sama ada penyokong PAS atau UMNO berkemungkinan akan bergerak
kepada Bersatu. Atau mungkin mereka tidak keluar mengundi, maka
peratusan mengundi akan menjadi rendah,” katanya ketika dihubungi
Ismawet, hari ini.
Mengulas
lanjut, Mohd Noor yang juga Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa
Universiti Malaysia Sabah (UMS) percaya BN terdorong membuat keputusan
sedemikian atas perkiraan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013, walhal
majoriti pengundi Cina sendiri sudah tidak berpihak kepada MCA.
“Pada PRU14,
lebih 90 peratus orang Cina telah memihak kepada PH terutamanya DAP.
Ini berbeza dengan PRU sebelumnya di mana orang Cina masih memberikan
undi kepada BN. Ia akan menjadi wajar untuk meletakkan calon MCA di
Tanjung Piai jika senario politik kini masih sama seperti waktu itu.
“Tapi kini,
untuk MCA menang mungkin sukar. Pengundi Melayu, pengundi Cina tidak
akan berikan sokongan kepada MCA. Kalaulah menang pun majoriti sangat
kecil.
“Ahli-ahli
PAS juga, walaupun di pusat akan beri sokongan kepada MCA, tidak semua
pengundi PAS akan berpihak kepada MCA kerana telah banyak isu berkaitan
dengan Melayu dan Islam seperti isu RUU355 dan sebagainya telah
mengguris hati mereka,” katanya.
Pada PRU-14, Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.
Beliau bagaimanapun sekali lagi diumumkan akan mewakili BN untuk PRK bulan depan.
Kerusi
Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14,
memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64
peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.
No comments:
Post a Comment