Saturday, October 26, 2019

PRK Tanjung Piai: Inikah calon PH, BN?

Wartawan MalaysiaGazette
Calon-Tanjung-Piai
Kapten Md. Fauzi Md. Tamaji (kanan) dan Dr. Ridhuan Tee Abdullah disebut-sebut calon PH dan BN di PRK Parlimen Tanjung Piai.

KUALA LUMPUR – Siapa calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai?

Tarikh 16 November ini, para pengundi di parlimen itu sekali lagi akan memilih wakil mereka selepas penyandangnya, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik meninggal dunia baru-baru ini.

Justeru dalam keadaan semasa politik hari ini, PH melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan BN masing-masing sudah pasti memilih calon boleh menang dan bukan sekadar orang tempatan semata-mata.

Difahamkan, Bersatu mungkin memilih seorang juruterbang berasal dari Pontian, Kapten Md. Fauzi Md. Tamaji.

Berusia 50 tahun dan kini tinggal di Shah Alam itu merupakan juruterbang Air Asia X Berhad.

Bekas ahli UMNO itu pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa Alumni Kelab UMNO Luar Negara pada tahun 2010 dan kini ahli biasa Bersatu di Pontian.

Ayahnya, Md. Tamaji Rabidin dan ibunya, Aishah Mohd. Sham merupakan bekas guru sekolah rendah yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok dan SK Rambah dalam kawasan Tanjong Piai.

Bagi BN, ada sumber memberitahu, kemungkinan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah bakal menjadi calon.

Pemilihan ahli akademik pro UMNO tetapi berbangsa Cina itu dilihat satu kelebihan bagi memenangi PRK Tanjung Piai.

Apa yang pasti, Pas dalam Muafakat Nasional atau MCA pun pasti menyukai Ridhuan.

Selain Md. Fauzi dan Ridhuan, sudah tentu beberapa nama lagi dicadangkan mengikut hieraki politik tempatan.

Bersatu pun turut menamakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan BN juga dikatakan juga menamakan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga bekas menteri besar.

Parti Gerakan juga berhasrat mencuba nasib di Tanjung Piai dan membayangkan calon dalam kalangan orang muda.- MalaysiaGazette

No comments: