Tuesday, October 1, 2019

Kes tembak: Polis panggil Naib Ketua Puteri UMNO untuk dirakam keterangan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Polis memanggil Naib Ketua Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan berhubung dakwaannya bahawa lelaki ditembak mati di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, menyerang majikannya kerana menghina Nabi Muhammad.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid semalam. Kes itu juga disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan Nurul Aman dalam ceramah di Kubang Kerian, Kelantan, mendakwa kes amuk menyebabkan seorang lelaki mati ditembak di kilang itu dicetuskan oleh dua individu yang menghina Nabi Muhammad.

Dalam kejadian jam 4.45 petang 23 Sept lalu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera tetapi berada dalam keadaan stabil.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata polis turut menerima laporan berhubung sebuah sekolah di Pulau Pinang yang didakwa tidak membenarkan bacaan doa orang Islam dan dibaca mengikut bacaan agama Kristian pada majlis penyampaian anugerah sekolah itu.

“Kami ada terima laporan berhubung perkara itu dan telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada Jumaat, beberapa individu hadir pada majlis itu dan didakwa melarang pelajar Islam membaca doa mengikut agama Islam, sebaliknya dibaca mengikut bacaan agama Kristian.—Bernama 

No comments: