Thursday, October 3, 2019

Kerajaan diminta fokus keadilan ekonomi, dasar afirmatif

siti hafidah

 

Atasi masalah 'ali baba', jangan ulangi lagi kesilapan DEB: Amir Isma

BANGI– Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meminta kerajaan menggunakan platform Bajet 2020 untuk memberi penekanan kepada agihan ekonomi yang adil dan mengekalkan dasar afirmatif.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kerajaan perlu mewujudkan rangkaian ekonomi Bumiputera yang menyeluruh supaya mereka dapat bersaing dengan bangsa lain.

“Beri peruntukan kepada perusahaan Bumiputera bagi memastikan pembekalan dan pemasaran mereka kondusif sehingga mampu bersaing.

“Jangan lupa kepada masyarakat miskin bandar dan juga pembangunan luar bandar. Selain itu, bajet pengurusan perlu dikurangkan sementara bajet pembangunan diperbanyakkan,” katanya kepada Ismaweb hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Abdullah menyarankan kerajaan mengatasi masalah ‘ali baba’ dan tidak mengulangi kesilapan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada bukan Bumiputera.

“Kerajaan PH juga perlu mempertimbangkan pembangunan ekonomi rakyat bukan kayakan tauke-tauke,” katanya.

Pemimpin gerakan Islam itu juga berharap kerajaan memfokuskan ekonomi digital, berikutan ia menjadi perbincangan di Asia Tenggara yang teruja dengan perkembangan semasa.

Sebelum ini, Laporan Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan World Bank Group mengakui ekonomi digital negara meningkat secara purata, sebanyak sembilan peratus setahun sejak 2010 hingga 2016, dan dijangka berkembang pesat dan menghampiri 20 peratus daripada ekonomi negara menjelang 2020.

Tahun ini adalah kali kedua buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan belanjawan selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Bajet 2019 adalah belanjawan ‘sulung’ bagi kerajaan PH dengan memperlihatkan penstrukturan semula perbelanjaan negara, walaupun tiada kelainan drastik berbanding dengan bajet sebelumnya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).


No comments: