Friday, October 4, 2019

Kafir Harbi-Zimmi perlu difahami dalam kerangka menyeluruh

Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani

 

Tak salah tukar istilah tapi kena kekal asas sama iktiraf kedaulatan Islam

SEMALAM Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ada menyebut bahawa konsep kafir zimmi dan kafir harbi sudah lagi tidak terpakai dengan wujudnya sistem kewarganegaraan. Bagi saya ini adalah satu pandangan yang sangat bermudah serta tidak melihat konsep siyasah shar’iyyah secara menyeluruh.

Asasnya, berdasarkan perbahasan siyasah shar’iyyah oleh ulama terdahulu, ulama hari ini seperti al-Qaradawi, Abu Faris, al-Khayyat dan lainnya telah meletakkan terdapat tiga asas thawabit (kekal) yang menjadi tiang utama kepada konsep politik Islam. Bahaslah mana-mana bahagian dalam siyasah pun ia tidak akan dapat lari daripada salah satu tiang ini. Tiga tersebut adalah kedaulatan Islam (siyadat al-shari’ah), syura (al-shura) dan keadilan (al-‘adalah).

Berdasarkan asasnya ini sahaja pun sudah cukup untuk menolak pandangan-pandangan yang menyatakan bahawa siyasah itu adalah keadilan semata-mata atau siyasah itu adalah demokrasi berdasarkan syura. Hakikatnya siyasah shar’iyyah jauh lebih menyeluruh daripada nilaian tersebut. 

Pada siyasah itu ada aqidahnya (kedaulatan Islam), ada sistemnya (syura) serta ada nilai utamanya (keadilan) menjadikan konsep politik Islam jauh berbeza dengan konsep politik lainnya.

Jadi apabila difahami asas ini barulah boleh berbahas tentang kafir harbi-zimmi. Oleh kerana ia adalah salah satu perbahasan dalam siyasah maka sudah tentu terdapat salah satu asas yang telah disebutkan mendasari konsep ini. Asas tersebut ialah kedaulatan Islam.

Konsep kedaulatan Islam dalam masyarakat meletakkan asasnya seluruh individu tanpa mengira agama mempunyai tanggungjawab untuk mengiktiraf kedaulatan Islam. Atas sebab inilah masyarakat ini dinamakan mujtama’ islami atau ummah (seperti dalam piagama Madinah), kesepakatan mereka bukan menganut agama yang sama tetapi mengiktiraf prinsip yang sama iaitulah kedaulatan Islam.

Dalam piagam Madinah, ramai yang mengambil hujah bagaimana Nabi SAW mengiktiraf orang yahudi dan bangsa-bangsa lain yang tidak menganut Islam sebagai ‘satu ummah’ bersama orang-orang beriman namun mereka tidak melihat mengapa Baginda memberikan pengiktirafan tersebut pada mereka.

Dalam piagam tersebut jelas menunjukkan pengiktirafan itu diberikan atas beberapa asas iaitu mengiktiraf Islam rujukan utama (fasal 23, 42), mengiktiraf kepimpinan Muhammad bukan sebagai manusia biasa tetapi sebagai utusan Allah (fasal 47), berjanji mempertahankan Madinah daripada musuh Islam (fasal 46). Apabila semua ini dipenuhi barulah layak menyebut mereka ‘satu ummah’ bersama orang beriman.

Pengiktirafan Islam juga menjadi asas dalam ayat Quran yang berbicara tentang konsep kafir zimmi:

قَـٰتِلُواْ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ ٱلۡحَقِّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡڪِتَـٰبَ حَتَّىٰ يُعۡطُواْ ٱلۡجِزۡيَةَ عَن يَدٍ۬ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” (Surah al-Taubah: 29)

Al-‘Asqalani meriwayatkan bahawa Imam al-Shafi’i menyebut yang dimaksudkan dengan ‘taat dan merendah diri’ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ)) ialah dalam keadaan mereka rendah, tunduk serta mengiktiraf pemerintah, kepimpinan dan sistem perundangan Islam dalam negara tersebut.

Jadinya tindakan bermudah menolak terus konsep kafir harbi-zimmi adalah satu tindakan yang tidak teliti dalam membahas siayasah shar’iyyah. Kafir harbi-zimmi bukanlah setakat berbicara soal jizyah atau ‘halal darah’ semata, tetapi ianya mempunyai maqasid lebih asas iaitu isu kesetiaan (wala’) setiap ahli yang berada dalam sebuah negara Islam. Jizyah adalah lambang kesetiaan begitu jugalah diperangi atas asas hilangnya kesetiaan.

Membayangkan konsep kafir harbi-zimmi sebagai satu yang kejam sehingga tidak releven untuk hari ini juga adalah tindakan yang tidak jujur dalam berbahas siyasah shar’iyyah. Asas bermuamalat dengan baik jelas disebut dalam ayat 8 Surah al-Mumtahanah. Mulianya konsep ini sehingga Baginda SAW sendiri sanggup menjadi perisai bagi kafir zimmi yang dizalimi oleh orang lain seperti dalam hadis. Tetapi kesemuanya berdiri atas asas tidak memerangi Islam seperti dinyatakan pada permulaan ayat 8 dan ayat selepasnya.

Kemudian jika kita menilai isu ini dalam perspektif Malaysia ia adalah sangat releven. Ini kerana Islam di negara ini merupakan salah satu teras kenegaraan berdasarkan perlembagaan serta struktur kepimpinan negara. Oleh itu seluruh individu dalam masyarakat majmuk di negara ini perlu mengiktiraf kedaulatan Islam, sesiapa yang mempertikai atau menolak perkara ini perlulah ditegur dan diperbetulkan kerana telah hilangnya kesetiaan pada negara dalam jiwa mereka. Sebeanrnya inilah asas kepada perbahasan konsep kafir harbi-zimmi.

Bagi saya, tiada masalah untuk menukar istilah ini kepada istilah lain seperti kewarganegaraan tetapi ia sepatutnya masih lagi kekal berdiri atas asas yang sama iaitu mengiktiraf kedaulatan Islam.

Kalaulah yang dimaksudkan dengan kewarganegaraan bahawa bukan Islam tidak lagi perlu mengiktiraf Islam, boleh sesuka hati mempertikai Islam maka ia telah jauh tersasar daripada siyasah shar’iyyah. Konsep kafir harbi-zimmi mempunyai asas hak dan tanggungjawab, begitu jugalah sepatutnya dalam konsep kewarganegaraan.

Tannggungjawab itu hendaklah selamanya berdiri atas asas mengiktiraf kedaulatan Islam. Kalau bukan ini maka ia bukanlah siyasah shar’iyyah.

*Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani,  Penolong Setiausaha MUIS


No comments: