Sunday, September 1, 2019

Halal Jakim belum tentu ‘Halalan Toyyiban’

Hj. Mohd Nor Izzat Bin Hj. Mohd Johari

 

Kita bukan cari halal semata-mata tetapi kita dituntut mencari ‘Toyyib

MENGULAS mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. Berkemungkinan menteri maksudkan tidak perlu boikot barangan bukan muslim, bermakna barangan yang telah mendapat pengesahan halal oleh Jakim tetapi pemiliknya bukan muslim.

Saya secara peribadi merasakan saranan YB menteri adalah kerana YB menteri ingin menyatakan Jakim adalah sebuah institusi yang telah diamanahkan untuk mengiktiraf sesuatu produk sama ada halal atau tidak.

Halal Jakim belum tentu lagi ‘Halalan Toyyiban’. Dahulu, kita sedar dan akui bahawa kita susah untuk mendapatkan produk muslim atas kekangan-kekangan tertentu.

Bagaimanapun, dalam menuju tahun 2020, kita seharusnya mengakui bahawa kita sudah banyak produk muslim yang mendukung ‘Halalan Toyyiban’ tersebut.

Saya menarik perhatian YB Menteri dan mungkin juga perlu merujuk kepada YB Menteri Agama Islam, apakah yang dimaksudkan Halalan Toyyiban?

‘Halalan Toyyiban’ membawa maksud sesuatu yang halal yang bersifat baik atau elok. Ini bermakna kita bukan sekadar mencari halal semata-mata, malah kita dituntut untuk mencari ‘Toyyib’.

Saya juga tertanya-tanya, adakah halal yang diiktiraf oleh Jakim ini betul-betul Halal? Jika kita buat senarai semak, perkara pertama yang wajib kita perhalusi ialah siapa pemilik/pemunya/pembuat produk tersebut. Termasuklah pemilik syarikat atau pengeluar dana/modal dalam menghasilkan produk.

Ini yang kita tekankan. Rentetan daripada itu, saya difahamkan YB menteri telah merendah-rendahkan orang Islam di Malaysia dengan kata-kata sindiran bahawa saranan beliau itu kerana kebanyakan produk Halal Jakim adalah kepunyaan bukan muslim. Benar!

Sebab itu saya dan seluruh rakyat Malaysia sedang mencari produk dan perkhidmatan yang ‘halalan toyyiban’. Mungkin sukar tetapi saya yakin, dengan tekad dan usaha, kita pasti berjaya melengkapkan segala keperluan asas kita dengan produk muslim.

Menerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan NGO-NGO Islam (GNI), saya yakin, kempen beli produk muslim dan kempen sokong peniaga pembayar zakat akan terus mendapat sokongan padu semua umat Islam di Malaysia.

* Hj. Mohd Nor Izzat Bin Hj. Mohd Johari,  Sekretriat Ekonomi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)


No comments: