Saturday, September 21, 2019

Usaha perkasa identiti negara elak generasi muda buta sejarah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Unit Kajian Sejarah Isma anjur 'Wacana Sejarah dan Peradaban Melayu'

SUNGAI PETANI– Usaha memperkasakan identiti negara melalui penerokaan naratif sejarah yang sebenar dan absah perlu dilakukan dengan agresif supaya generasi muda tidak buta sejarah dan dapat memahami pemikiran sejarah dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, Unit Kajian Sejarah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini mengadakan ‘Wacana Sejarah dan Peradaban Melayu: Sulalat’ sebagai batu pelonjak kepada usaha yang lebih serius dan dalam skala lebih besar ke arah memperkukuhkan identiti serta jati diri negara berteraskan Melayu dan Islam.

Wacana Sejarah dan Peradaban yang berlangsung di The Jerai Hotel Sungai Petani menampilkan tokoh sejarah dan bekas pensyarah kanan pusat pengajian ilmu kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Abdul Rahman Haji Ismail.

Antara objektif wacana ini termasuklah:

1. Memahami konsep sebenar sejarah dan pensejarahan bangsa Melayu bagi mengukuhkan jati diri dan identiti negara;

2. Mengukuhkan ikatan bangsa Melayu dengan akar sejarahnya yang panjang dan warisan peradabnnya yang mengkagumkan;

3. Mengetengahkan manuskrip lama Melayu sebagai usaha pemugaran warisan khazanah sejarah bangsa dan budaya;

4. Melahirkan kesedaran mengenai ancaman penyimpanan naratif sejarah yang bercanggah dengan identiti dan jati diri negara dan;

5. Memupuk minat dan kecintaan kepada pengkajian sejarah peradaban bangsa Melayu.

Penyelidik Unit Kajian Sejarah Isma, Ustaz Noorzamri Ibrahim berkata, negara memerlukan satu pandangan baharu terhadap sejarah memandangkan situasi sekarang pelbagai pihak cuba mengentengahkan pandangan mereka, bahkan sehingga tahap meletakkan satu pandangan yang kemungkinan memaksa rakyat untuk mengikut.

“Perkara ini sangat serius dan kritikal pada ketika ini. Justeru kita rasa ini masa yang sesuai untuk kita mendapatkan sumber-sumber dan bertemu tokoh yang berautoriti dalam membincangkan isu sejarah ini,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net di sini, hari ini.


No comments: