Sunday, September 1, 2019

Apa sumbangan DAP 60 tahun lalu selain perkauman?

ainulillia 

 

Khaled tempelak cara pemikiran Kit Siang yang amat songsang

BANGI – “Yang bercakap mengenai Malaysia Baharu, hanyalah YB (Lim Kit Siang), anak YB dan konco-konco YB. Seolah-olah YB adalah pejuang pembebasan yang terpenjara berpuluh tahun dan akhirnya setelah dibebaskan berjaya menumbang kerajaan yang zalim.” 

Demikian selar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap kenyataan penasihat veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung objektif ‘Malaysia Baharu’ sehingga memberi bayangan beliau akan bersara.

Kit Siang dalam blog rasminya beberapa hari lalu melontarkan pertanyaan sama ada beliau perlu melupakan impian Malaysia Baharu dan bersara selepas lebih lima dekad bergelumang dalam politik, ekoran keyakinan dalam kalangan penyokong yang dikatakan semakin menurun.

Menyebut berkenaan dekad perjuangan dan pengorbanannya, Kit Siang berjanji bahawa DAP tidak akan memungkiri keyakinan rakyat atau mengetepikan prinsipnya serta harapan dan objektif Malaysia Baharu.

Membidas perkara itu, Khaled mengingatkan Kit Siang bahawa yang baru tidak semestinya baik dan yang lama tidak semestinya jelik. 

Malah, beliau menyifatkan cara pemikiran yang dibawa oleh Kit Siang sebagai amat songsang dan juga keanak-anakan.

“Apa YB lupa, BN telah membina negara ini dengan jayanya. Jika tidak, masakan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan baik. Jika tidak, masakan kerajaan dapat berfungsi seusai pilihan raya. Jika tidak, masakan wujud generasi yang sangat waras dan tegas menentang apa yang mereka anggap korupsi dan kejahatan. 

“Jika benar BN dan orang Melayu yang mendukung UMNO ini terlalu jahat, tidak akan pernah wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di negara ini.

“Setelah BN tumbang, tidak ada satu pun tunjuk rasa yang UMNO dan PAS anjurkan. Kami sangat menghormati pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan berlapang dada,” katanya dalam satu kenyataan.

Malangnya, jelas Khaled, setelah lebih setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan kualiti pentadbiran yang gagal, maka cara paling mudah untuk mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah mencari kambing hitam. 

“YB enggan menerima hakikat bahawa yang menggantikan kleptokrasi adalah kakistokrasi. Malah kini, pelbagai episod video seks, jenayah seksual dan rujukan bahan lucah dilakukan oleh anggota Kerajaan. Seolah-olah, kakistokrasi kini berubah pula menjadi pornokrasi.

“Maka timbul tuduhan bahawa ada pihak tertentu yang bermain sentimen kaum dan agama. Malah, rakan-rakan YB sehingga ke hari ini masih bercakap tentang ‘kartel’ dan ‘deep state’ yang tidak ada siapa pun faham maksudnya. 

“Barangkali, para jemaah menteri yang bersijil palsu dengan kelayakan luar negara yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kami yang hanya belajar dengan jujur di universiti tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor turut mengajukan persoalan bagi mengetahui, selain perkauman, apa yang sebenarnya telah Kit Siang atau DAP bantu bagi menjayakan tanah air selama 60 tahun ini.

“Jika DAP bukan perkauman, masakan setelah 60 tahun, ia terus gagal meyakinkan orang Melayu untuk mendukung perjuangannya. Jika DAP bukan perkauman, mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila Perdana Menteri menyelar Dong Zong sebagai rasis? Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?

“Setelah 60 tahun, satu-satunya ‘jasa’ DAP adalah memastikan orang Cina hanya menyokong agenda rasis DAP. Sebab itu, sejak 6 dekad sehinggalah setelah membentuk kerajaan, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.

“Sebabnya mudah. Impian DAP tentang Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi itu sangat terpisah dari realiti Malaysia,” katanya.


No comments: