Kesalahan termasuk hurungan tikus, lipas, markah kurang 65 peratus
SHAH ALAM– Sebanyak 13 buah premis menjual makanan di Ulu Yam, Rasa dan Batang
Kali di daerah Hulu Selangor diarah tutup, selepas Ops Premis Bersih
Bersepadu Daerah Hulu Selangor pada Rabu lepas kerana beroperasi dalam
keadaan kotor, dengan kehadiran tikus dan lipas di premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN)
Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kesemua premis yang diarah
tutup itu telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja
pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.
“Antara kesalahan yang dilakukan oleh
kesemua premis yang diarah tutup ini adalah lima premis terdapatnya
hurungan tikus, sebuah premis terdapat hurungan lipas manakala tujuh
premis lagi ditutup kerana markah penilaian kebersihan semasa
pemeriksaan yang diperoleh kurang daripada 65 peratus,” katanya dalam
satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Khalid berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 98 buah restoran dan kedai makanan telah diperiksa.
“Sebanyak 113 notis membabitkan pelbagai
kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, turut
telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis dengan
jumlah keseluruhan nilai tawaran kompaun sebanyak RM 60,900.
“Operasi berkenaan turut mengenal pasti
seramai 59 pengendali makanan yang bekerja di restoran dan kedai makanan
yang tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan, dan seramai 63
orang tidak mendapatkan suntikan tifoid, kesemua kesalahan ini turut
diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Katanya, operasi berkenaan diselaraskan
oleh Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, membabitkan seramai 81 orang
pegawai dan mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
JKN Selangor akan sentiasa mengadakan
operasi di seluruh negeri bagi memastikan pengusaha dan pengendali
makanan mematuhi peruntukan undang-undang dan makanan yang disediakan
adalah selamat untuk dimakan.
“Orang ramai adalah dialu-alukan untuk
menghubungi JKN Selangor sekiranya mempunyai aduan berkenaan premis
makanan kotor atau terdapat produk makanan yang rosak yang djual di
negeri ini,” katanya. -Bernama
No comments:
Post a Comment