Friday, September 27, 2019

Syeikh Misyari Rashid imamkan solat Jumaat

Samadi Ahmad
 
 
 

LEBIH 20,000 jemaah yang solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di Putrajaya, hari ini bertuah apabila berpeluang mendengar kelunakan dan kemerduan suara qari tersohor dunia, Syeikh Misyari Rasyid Al Afasy, 43.

Sheikh Misyari yang kini dalam siri jelajahnya ke Malaysia dan Indonesia dijemput ke MTMZA untuk mengimamkan solat Jumaat, hari ini.

Beliau yang memakai jubah berwarna coklat cair tiba di MTMZS kira-kira 1 tengah hari, diiringi pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dan Imam Besar MTMZA Nor Azamir Alias.

Syeikh Misyari Rasyid yang sepatutnya menyampaikan tazkirah di MTMZA tidak dapat berbuat demikian disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Selepas mengimamkan solat Jumaat, beliau turut membaca sepotong ayat Al Quran dan doa sebelum bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.

Khutbah Jumaat yang disampaikan Nor Azamir bertajuk Sebarkan Rahmah Unggulkan Ummah adalah bersempena dengan Karnival Rahmah 2019 yang berlangsung mulai semalam hingga Ahad ini.

Di samping pakar dalam 10 jenis bacaan dan penterjemah al-Quran, Syeikh Misyari juga adalah penyanyi nasyid.

Beliau yang juga lulusan Universiti Islam Madinah, Kolej al-Quran & Pengajian Islam turut menerima pendidikan al-Quran melalui qari terkenal terdiri dari Syeikh Ahmad Abdul Aziz Al-Zaiat, Syeikh Muhammad Sadiq Al-Minshawi, Syeikh Mustafa Ismail dan Syeikh Abdul Basit Abdul Samad.

Antara kerjaya yang pernah diceburi bapa kepada dua orang puteri itu adalah menjadi imam di Masjid Nabawi di Madinah dan imam solat Terawih pada setiap tahun di Masjid Agung Al-Kabir, Kuwait.

Selain dinobat sebagai Qari Terbaik 2012 oleh about.com Reader’s Choice Award, beliau juga adalah penerima anugerah Arab Creativity Oscar Pertama oleh Arab Creative Union yang ditaja oleh Setiausaha Jeneral Liga Arab Amr Mousa.

Sehingga kini, beliau menerbitkan sembilan album nasyid dan antara nasyid terkenal ialah ‘Rahman ya Rahman’ yang mencatatkan lebih 100 juta tontonan di media sosial.

No comments: