Wednesday, September 4, 2019

Agenda Malaysian Malaysia DAP punca keharmonian hilang

Manzaidi Mohd Amin
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali


KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus kekal harmoni dengan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama saling jika DAP tidak muncul dengan agenda Malaysian Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dengan agenda itu,
DAP cuba mengaburkan sifat dan identiti kemajmukan masyarakat kerana mahu menghilangkan ketuanan Melayu yang juga penduduk asal dan majoriti di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia telah merdeka daripada belenggu penjajah selama 62 tahun dan Persekutuan ditubuhkan hasil gabungan negeri-negeri membentuk sebuah perlembagaan yang menjadi asas bagi negara dan kerajaan dengan Islam, raja-raja dan Melayu menjadi teras utamanya hingga ke hari ini.

“Sejak dari itu, masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama saling hidup harmoni dan bersatu-padu memakmurkan dan memajukan negara ini dengan peranan dan sumbangan masing-masing.

“Nilai hormat-menghormati dan bertoleransi menjadi rukun yang dipatuhi oleh semua, tetapi DAP telah mencabulnya dengan agenda yang memecah-belahkan perpaduan kaum,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, di era Malaysia Baharu dengan pengaruh dan kuasa dimiliki, mereka lebih berani menggugat kedudukan dan keistimewaan orang Melayu menerusi pelbagai saluran politik, ekonomi dan sosial serta termasuk juga melalui badan kehakiman.

Tegas beliau, sikap apologetik sebahagian orang Melayu pula dengan tuduhan rasis yang dilemparkan sedangkan sentimen perkauman itu dicetuskan oleh DAP telah menyebabkan satu demi satu kepentingan Melayu digadaikan.

“Keadaan kewangan dan ekonomi negara juga menunjukkan prestasi kurang baik. Hutang Kerajaan Persekutuan pada suku kedua 2018 sehingga suku kedua 2019 menunjukkan peningkatan dari RM725.2 bilion kepada RM799.1 bilion.

“Kadar pengangguran pula naik dari 516,000 orang kepada 521,000 orang walaupun kadar ini menurun sedikit dari Ogos hingga Oktober 2018.

“Indek Harga Pengguna (IHP) naik dari 119.6 mata kepada 121.5 mata. Ini menggambarkan keadaan sara hidup yang semakin tinggi perlu ditanggung oleh pengguna,” ujarnya.

Menurut Mohd Khairuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, sektor pertanian dan perkhidmatan turut mencatatkan prestasi menurun berbanding suku pertama tahun ini.

Graf pertumbuhan perbelanjaan sektor swasta menunjukkan trend menurun sejak suku ketiga 2018 kepada serendah 7.6 peratus pada suku pertama 2019 walaupun baru-baru ini naik sedikit kepada 7.8 peratus.

Pertumbuhan gaji dalam sektor swasta (real private sector wage growth) juga dilihat menurun sejak akhir tahun 2018 kepada 3.6% pada suku tahun kedua 2019.

Kata beliau, indeks keyakinan pengguna terus merundum dari 132.90 mata pada suku kedua 2018 kepada 83 mata pada suku kedua 2019.

“Tahap keyakinan perniagaan juga menunjukkan trend yang sama iaitu menurun daripada 116.30 mata pada suku kedua 2018 kepada 94.3 mata pada suku kedua 2019.

“Sudah pasti keadaan ini mengkhuatirkan kita semua. Jika dibiarkan, tidak mustahil situasinya akan bertambah buruk, dan semua pihak saling menyalahkan dengan menjadikan perbezaan punca permusuhan,” katanya. – MalaysiaGazette


No comments: