Sunday, March 24, 2019

Pencemaran kimia: Polis buru pemilik kilang warga Singapura

ainaa syaza

2 pengarah syarikat serta seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah bersubahat dan membuang lupus bahan sisa toksik di Sungai Kim Kim


JOHOR BHARU – Polis Johor sedang mengesan seorang pemilik kilang warga Singapura bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, awal bulan lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kini diletakkan dalam senarai orang dikehendaki.

Selain itu, pihaknya juga telah memohon bantuan pihak berkuasa Singapura untuk menahan lelaki berkenaan.

“Lapan daripada 11 individu ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terbabit dalam insiden pencemaran bahan toksik di sungai itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Sehubungan itu, seorang pemandu lori dan dua lagi pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di sini, hari ini, selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam sungai pada 7 Mac lalu.

Mohd Khalil tegas berkata, anggota dan pegawai yang terbabit dalam siasatan kes itu telah bekerja keras untuk menahan suspek berdasarkan fakta yang diperolehi, sekali gus menepis dakwaan segentir netizen kononnya pihak polis hanya bermain ‘wayang’ berhubung kes pencemaran itu.

”Kita buat kerja seikhlas hati dan sebaik mungkin. Kita tidak tangkap orang sesuka hati, mesti ada fakta dan apabila kita tangkap dengan fakta, kita juga mesti perlu dapat jaminan pertuduhan, baru kita tuduh di mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau meminta netizen supaya jangan mengguris hati anggota dan pegawai yang bertungkus lumus berusaha cuba menyelesaikan kes itu dengan kadar segera. – Bernama


No comments: