Friday, March 1, 2019

Pegawai SPR pernah buat laporan terhadap saya, Najib beritahu Azhar




PETALING JAYA: Najib Razak mengingatkan Azhar Harun bahawa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat laporan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, ditengah-tengah dakwaan Pakatan Harapan membeli undi pada pilihan raya kecil Semenyih.

Bekas perdana menteri berkata Azhar harus ingat bahawa pegawai SPR pernah membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa berkempen pada hari mengundi PRK Sungai Kandis melalui satu kiriman Facebook pada hari tersebut.

Dia menjawab kenyataan pengerusi SPR yang menggesa Najib membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika ada maklumat mengenai sebarang kesalahan pilihan raya.

Kenyataan itu selepas Najib membangkitkan isu pembelian undi pada PRK Semenyih, memetik laporan-laporan mengenai peruntukan kepada kawasan itu yang diumumkan oleh seorang menteri dan penganjuran cabutan bertuah di majlis yang sama.
Najib juga membangkitkan kejadian penduduk Semenyih diberi hamper dan surat menawarkan baikpulih rumah.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengakui hadiah dan surat tawaran itu tetapi berkata ia tidak menyalahi undang-undang.

Azhar berkata ia mungkin merupakan kesalahan pilihan raya dan boleh menjadi sebab-sebab untuk pihak yang tewas mencabar keputusan PRK.

“SPR tidak boleh membenarkan kesalahan pilihan raya yang terang-terangan, yang mereka atau orang ramai tahu tidak akan dihukum.

“Mereka mesti pastikan tindakan diambil,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah tiada tindakan daripada SPR terhadap kesalahan-kesalahan pilihan raya berprofil tinggi yang dilakukan PH pada PRK Cameron Highlands sudah melemahkan kredibiliti Azhar.

“Apa-apa lagi tindakan yang tidak diambil SPR pada PRK Semenyih hanya menguatkan persepsi orang ramai bahawa SPR berat sebelah,” kata Najib.

No comments: