THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 12 Januari ini, MIC dilanda krisis dalaman yang serius di mana beberapa pemimpin utama parti itu dikatakan lantang menyuarakan supaya parti itu keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya kerusi Parlimen tersebut diserahkan kepada UMNO.
Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Times (TMT) bahawa kepimpinan tertinggi parti itu telah bersetuju untuk menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenangi MIC sejak PRU 2004 kepada UMNO melalui satu proses “ganjaran politik” termasuk jawatan Senator.
Malah bayangan “kemungkinan” itu tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang diadakan di Cameron Highlands, Jumaat lepas.
Walaupun tidak ada satu keputusan yang “muktamad” dicapai berhubung perkara tersebut, sumber parti memberitahu sudah ada “tangan-tangan di belakang tabir” yang sedang mengerakkan usaha itu menjadi kenyataan.
Perkembangan itu turut dikecam oleh beberapa pemimpin atasan parti itu yang sedang giat berkempen di kawasan Parlimen sejak beberapa hari lepas di mana mereka dikatakan sudah “menyampah” dan “naik angin”.
Malah mereka juga dikatakan sudah bersedia untuk keluar dari MIC sekiranya parti itu serah diri kepada UMNO.
Naib Presiden MIC Senator Datuk T. Mohan merupakan salah seorang pemimpin yang lantang menyuarakan pandangya di mana beliau mendesak parti itu tidak “menyerah kalah” kepada UMNO kali ini.
Katanya, UMNO sudah merampas beberapa kerusi yang dimenangi parti itu di negeri Johor dan Perak sebelum ini dan memberikan “kerusi maut” kepada parti itu.
Rakaman suara lantang Mohan berhubung PRK Cameron Highlands menjadi viral di media sosial semalam.
Mohan juga berpandangan MIC boleh mempertahankan kerusi itu melalui pilihanraya kecil itu nanti dimana ianya juga boleh dijadikan gelanggang untuk menguji tahap kerelevanan parti itu selepas PRU ke 14.
Kemenangan atau kekalahan di Cameron tidak akan memberikan sebarang impak kepada proses politik negara yang dikuasai oleh Pakatan Harapan ketika ini.
Yang pasti parti perlu bertanding dan melakukan satu kajian terperinci mengenai tahap sokongan, katanya.
MESYUARAT CWC HARI INI
Sementara Presiden MIC Tan Sri S.Vigneswaran pula dalam satu reaksi segera meminta semua pihak bersabar sehingga mesyuarat CWC hari ini akan membincangkan perkara tersebut di mana satu keputusan muktamad akan diambil.
Apa yang pasti, politik dalaman MIC sudah kecoh dan panas. Ramai yang berpandangan parti itu tidak seharusnya tunduk kepada UMNO untuk meraih jawatan Senator semata-mata.
Menang atau kalah adalah adat pertandingan. MIC tidak pernah kalah di Cameron sebelum ini.
Parti itu perlu jadi ‘anak jantan’ untuk buktikan kemampuan mereka. Itulah antara luahan kuat yang kedengaran di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan