Selasa, 8 Januari 2019

Pihak masjid tiada kena mengena dengan kes anjing mati – Pengerusi masjid

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: Pihak Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Height dekat sini, menegaskan pihaknya tidak terlibat dengan isu kematian beberapa ekor anjing dipercayai akibat diracun di taman perumahan itu seperti yang tular baru-baru ini.

Mengulas dakwaan yang dibuat terhadap pihak masjid itu, pengerusinya Mohd Asna Amin semalam turut menegaskan bahawa beliau juga tiada kaitan dengan isu tersebut dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan.

Berhubung isu anjing liar yang berkeliaran di kawasan masjid, beliau berkata perkara itu telah berlaku sekian lama dan semakin serius pada tahun lepas, namun pihaknya hanya mengambil tindakan dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Veterinar.

“Banyak kali aduan telah dibuat tetapi tiada tindakan tetapi kita masih tunggu pihak berkuasa ambil tindakan… anjing liar ini masuk ke kawasan masjid dan tidur selain mengejar kanak-kanak dan pelajar tahfiz di kawasan masjid berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Mohamad Taufek Abd Ghani meminta orang ramai agar tidak mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman atau agama.

“Kawasan DUN Paroi memang terdedah dengan anjing liar mungkin dahulu orang bela tetapi apabila sudah tidak mampu menjaga mereka lepaskan sahaja.

“Selain Taman Lavender Height, Taman Marida dan Dataran Senawang turut menghadapi isu sama,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: