Pertikaman lidah secara terbuka antara presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali menunjukkan tanda berlaku persaingan dalam PKR.
Penganalisis politik percaya Anwar perlu menangani isu itu secepat mungkin sekiranya tidak mahu ia merosakkan agenda perubahan dan menjejaskan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).
Profesor Madya dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Faisal S Hazis berkata, perbalahan antara Anwar dengan Azmin di media sosial tidak menguntungkan parti itu.
"Beliau (Anwar) sudah bersedia untuk mengadakan pertarungan terbuka dengan Azmin dan ini tidak baik untuk PKR, dan tidak baik untuk keseluruhan gabungan itu.
"Dia perlu melakukan sesuatu yang drastik atau tidak, ini hanya akan menjadi sesuatu yang lebih buruk, ia boleh menjadi pertarungan kuasa dalam PKR.
"[...] Seluruh tumpuan parti itu telah beralih. PKR pada dasarnya merupakan parti terbesar dalam gabungan itu tetapi tidak menunjukkan ia adalah parti terkuat kerana Anwar sendiri menghadapi masalah dalam mengawal parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelantikan beberapa pimpinan utama parti yang terdiri daripada kem Rafizi Ramli. Rafizi sendiri dilantik sebagai naib presiden.
Azmin kemudian menyuarakan bantahan di Facebook dan
mengatakan pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip perwakilan adil dan
saksama, serta tidak dibuat berdasarkan merit.
Di Twitter, beliau turut mengeluarkan kenyataan sinis, walaupun tidak merujuk kepada Azmin secara khusus.
Anwar perlu redakan kumpulan berbalah
Penganalisis
politik, James Chin, yang mengetuai Institut Asia di University of
Tasmania di Australia, juga percaya Anwar patut menjadi pendamai kepada
kumpulan yang berbalah dalam PKR.
Bagaimanapun katanya, Azmin juga harus memainkan peranan.
Katanya, meskipun ada sebab untuk Azmin tidak berpuas hati, Chin juga mengakui Anwar perlu bersikap inklusif dalam pelantikan tersebut.
"Orang ramai tidak harus terkejut apabila Azmin memprotes pelantikan itu. Lagipun, jawatan utama setiausaha agung diberikan kembali kepada orang yang sama yang dia fikir jelas berat sebelah terhadap kumpulannya semasa pemilihan parti.
"(Tetapi) Saya fikir Anwar mahu kumpulan-kumpulan ini bersaing (dalam kepimpinan), yang betulnya kamu tidak boleh mengabaikan kumpulan Rafizi Ramli yang mendapat hampir separuh undi," katanya.
Dalam kenyataannya, Azmin menyatakan jawatan setiausaha agung harus diterajui seseorang yang tidak mengikut "kepentingan individu".
Saifuddin Nasution, yang diumumkan mengekalkan jawatan itu, sebelum ini menyokong Rafizi sebagai timbalan presiden semasa pemilihan parti itu.
Rafizi akhirnya tewas kepada Azmin, dengan ketinggalan 2,905 undi daripada 140,635 undi.
Bagi Faisal, beliau meramalkan Azmin telah memberikan isyarat untuk terus mencabar mentornya itu.
"Dia mengambil keputusan ini dengan membuat kritikan terbuka. Yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sebagai seorang penyokong setia Anwar.
"Dan saya fikir ini mungkin hanya satu isyarat, dia menghantar isyarat kepada Anwar bahawa dia tidak akan mengalah [...] Dia beri amaran kepada Anwar bahawa dia boleh pergi lebih jauh daripada ini," katanya.
Faisal berkata, langkah itu tidak akan diambil jika Azmin menganggap dirinya tidak memiliki sokongan yang kuat dalam parti itu.
"Saya fikir beliau (Azmin) berasa yakin bahawa dia mempunyai sokongan ahli-ahli parti dan kebanyakan pemimpin parti, itulah sebabnya dia sanggup melakukan ini," kata Faisal.
Pendirian Azmin
sebelum ini disokong pemimpin yang dikaitkan dengan kem beliau seperti
Ketua Wanita PKR Haniza Talha, naib ketua Wanita PKR Sangeetha Jayakumar
dan Naib Ketua Pemuda PKR, Mohd Nazree Mohd Yunus yang menggesa agar
pelantikan itu dikaji semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan