Ahad, 6 Januari 2019

Guan Eng: Jangan fitnah, belum ada negeri terima agihan cukai pelancongan

MALAYSIAKINI

   

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung hasil cukai pelancongan.

"Tohmahan Abdul Karim tidak benar. Seorang menteri Sarawak yang bertanggungjawab dan profesional tidak harus bergantung kepada fitnah semata-mata mencari ruang mengecam kerajaan persekutuan.

"Kementerian Kewangan ingin menegaskan tidak ada negeri lain seperti Sabah yang menerima agihan pelancongan sepertimana yang difitnahkan Abdul Karim," kata Lim dalam kenyataan media hari ini.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Karim mendakwa kerajaan persekutuan sudah mengagihkan hasil cukai pelancongan sebanyak RM2.7 juta kepada negeri lain termasuk Sabah namun mengecualikan Sarawak daripada agihan berkenaan.

Abdul Karim juga mendakwa bahawa agihan tersebut merupakan hak negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan harus membayarnya.

Lim dalam kenyataannya menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa tiada agihan cukai pelancongan setakat ini diberikan kepada mana-mana kerajaan negeri.

Anggota parlimen Bagan itu juga berkata bahawa dari segi undang-undang, cukai pelancongan merupakan hasil kerajaan persekutuan dan tidak timbul hak untuk mana-mana negeri untuk menerimanya.

Bagaimanapun, jelas Lim, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan bermula tahun 2019.

"Perakaunan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan atas ihsan kerajaan persekutuan, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan akan dibuat untuk semua kerajaan negeri dalam suku pertama tahun 2019," katanya.

Dalam kenyataan sama, Lim juga mengingatkan hutang kerajaan negeri itu.

"Setakat 30 November 2018, kerajaan Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada kerajaan persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta.

"Memandangkan negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada kerajaan persekutuan?" katanya.


Tiada ulasan: