Thursday, November 1, 2018

Wanita perlu buat laporan keganasan rumah tangga

Bernama
Wanita perlu buat laporan keganasan rumah tangga
Ramai dalam kalangan wanita tidak melaporkan keganasan yang berlaku dalam rumah tangga masing-masing berikutan bimbang kehilangan suami. - Gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR: Wanita perlu membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang keganasan rumah tangga termasuk kejadian rogol dalam perkahwinan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita tidak melaporkan keganasan yang berlaku dalam rumah tangga masing-masing berikutan bimbang kehilangan suami yang juga merupakan tempat bergantung.
 
Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen pada Rabu ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin semalam bahawa kerajaan buat masa ini tidak bercadang menjadikan kejadian rogol dalam perkahwinan sebagai suatu kesalahan kerana ia amat sukar untuk dibuktikan di mahkamah.

Ditanya sama ada Seksyen 375A Kanun Keseksaan boleh digunakan bagi kesalahan berkenaan, Yeoh berkata terdapat peruntukan sedia ada yang dapat digunakan bagi kes rogol dalam perkahwinan.

"Tetapi (untuk) yang lebih spesifik, kita perlu panggil semua pemegang taruh untuk berbincang kerana pindaan yang mahu dibuat terhadap kanunan jenayah perlu dibuat bersama supaya ia lebih menyeluruh," katanya. -- BERNAMA 
 
 

No comments: