PRU14 | Timbalan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak agar tidak memfitnah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau menegaskan bahawa semua anggota dan pegawai SPR dan PDRM tahu dan mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk PRU14.
“Jangan membuat fitnah yang peti undi telah dibuka. Polis dan SPR tahu peraturan bahawa peti undi tidak boleh dibuka (sehingga berakhirnya tempoh pengundian).
“Ia hanya boleh dibuka selepas pengundian pada 9 Mei nanti,” katanya sambil menyangkal dakwaan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, G. Manivanan, berhubung pengundian awam itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian semasa ditanya mengenai dakwaan Manivanan kononnya pengiraan pengundian awal Parlimen P.075 Bagan Datuk dilakukan selepas berakhirnya tempoh mengundi itu Sabtu lepas.
“Dia (Manivanan) sengaja buat onah kerana dia mahu meraih simpati,” katanya pada sidang media selepas melancarkan “Program Back2School: Pelestarian Kebun” di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah di Bagan Datuk.
Ahmad Zahid juga menempelak tindakan Manivanan yang mendakwa timbalan perdana menteri mendapat sambutan yang baik ketika keretanya masuk ke balai polis
“Kononnya saya yang mengarahkan...saya tidak berada di balai polis seperti didakwanya. Saya berada di tempat lain. Jangan cuba buat fitnah dalam perkara ini. Kita tunggu siasatan,” katanya.
Ahmad Zahid juga memberi amaran kepada Manivanan agar tidak memecahbelahkan masyarakat Bagan Datuk dengan melempar fitnah dan tohmahan.
“Jangan buat kerenah dan onah. Jangan rosakkan dan memecahbelahkan masyarakat di Bagan Datuk,” katanya.
Ahmad Zahid juga menyaran mereka yang mahu berkempen di kawasan Bagan Datuk agar menghormati budaya dan tata etika yang diamalkan di sini.
“Kalau mahu berkempen, berkempenlah dengan cara baik. Orang Bagan Datuk akan menolak orang yang membuat fitnah macam ini," kata Ahmad Zahid yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU14.
Beliau akan dicabar calon PKR Datuk Pakhrurrazi Arshad dan calon PAS Datuk Ata Abdul Muneim Hasan Adli.-Bernama
No comments:
Post a Comment