Monday, May 7, 2018

Khaled goyah dalam pertembungan di Pasir Gudang

Lu Wei Hoong

   

PRU14 | Dalam pilihan raya umum lalu, BN dikejutkan apabila hanya mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti yang sangat kecil.

Majoriti 17,821 undi yang diperoleh Datuk Seri Khaled Nordin pada 2008 merosot kepada 935 apabila Normala Abdul Samad menggantinya pada 2013.

Pada PRU kali ini, BN kembali meletakkan Khaled di situ walaupun menteri besar sementara Johor itu turut bertanding di DUN Permas yang disandangnya. Permas terletak dalam parlimen Pasir Gudang.

Sumber dalaman Umno memberitahu Malaysiakini bahawa Normala tidak begitu disukai antaranya oleh anggota Wanita Umno yang memboikotnya, terutama di lima daerah mengundi. Ia ditambah pula dengan semangat anti-BN yang kuat di kalangan pengundi Cina.

Umno yakin dengan mempertaruhkan Khaled - tokoh yang disuaki di Pasir Gudang, mampu mengatasi masalah itu.

Namun beliau kini berdepan beberapa faktor yang tidak berpihak kepadanya. Semakin ramai yang bercakap tentang kesukaran ekonomi di kalangan orang Melayu walaupun dengan pembangunan di sana - daripada kawasan pertanian menjadi bandar pelabuhan, dengan industri berat seperti pembinaan kapal dan perkhidmatan minyak dan gas.

Khamis lalu di tengah-tengah terik matahari, dua lelaki Melayu pergi ke kedai runcit untuk membeli 'rokok batang'.

Penjaga kedai, Maya (bukan nama sebenar) tahu dia tidak boleh menjual rokok secara batang tetapi tetap berbuat demikian.

"Saya kesian pada mereka. Mereka tak mampu beli sekotak...Malah ada yang tak mampu beli satu pek Maggi jadi saya terpaksa menjual mengikut bungkus.

"Terutama ketika tengah bulan (di saat ramai sudah kehabisan gaji), saya perlu menjual telur mengikut biji berbanding pek 10 biji," katanya.

Perubahan sokongan Melayu

Dua lelaki tadi berkata kenaikan kos sara hidup menyukarkan mereka untuk menyimpan wang.

"Keluarga saya, enam orang semuanya, akan mengundi PKR pada pilihan raya ini," kata salah seorang. Kedua-dua mereka sebelum ini mengundi BN.

Mereka mengundi di daerah mengundi Masai yang memiliki komposisi kaum yang seimbang.

Sebelum ini, BN mendapat 1,689 undi berbanding PKR yang mendapat 1,328 undi.

Kisah sama dapat didengar di banyak tempat di Pasir Gudang, termasuk di kawasan majoriti Melayu seperti Taman Air Biru (82 peratus pengundi Melayu, empat peratus Cina dan 13 peratus India).

Seorang penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Ikzal berkata beliau juga akan mengundi PKR kali ini kerana sebab yang sama. Dia juga pengundi BN sebelum ini.




Bagi calon PKR Hassan Karim, peralihan undi Melayu yang sekian lama berpihak kepada BN bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

"Ekonomi dan GST adalah isu sebenar. Pada masa lalu, orang Melayu menyokong BN secara terbuka. Berbeza dengan penyokong pembangkang yang menyokong secara tertutup.

"Tetapi ramai kini menjadi pengundi atas pagar," katanya kepada Malaysiakini.

Peralihan sokongan Melayu bukan satu-satunya kebimbangan Khaled. Memandangkan peranan Pasir Gudang sebagai bandar pelabuhan, ramai penduduk Sabah dan Sarawak berkerja dan sebahagiannya mengundi di sana.

Daftar pemilih menyatakan sejumlah 1,664 orang Sabah dan 1,748 orang Sarawak mengundi di Pasir Gudang.

Bagaimanapun bagi Ketua BERSATU Pasir Gudang Alex Puspah, angka tersebut jauh lebih rendah kerana masyarakat Bumiputera beragama

Islam daripada dua negeri itu disenarakan sebagai "Melayu" dalam daftar pemilih.

Kekuatan orang Sabah dan Sarawak

Alex berkata jumlah sebenar dapat diketahui dengan melihat kod 12 (Sabah) dan 13 (Sarawak) pada kad pengenalan dalam daftar pemilih.

"Anda akan tahu sejumlah 7,000 orang Sabah dan 6,000 orang Sarawak mengundi di Pasir Gudang," katanya yang lahir di Kota Kinabalu.

Alex sebelum ini adalah anggota Umno yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal warga Malaysia Timur di sana.

Khaled cukup sedar akan perkara ini dan memberi tumpuan istimewa, termasuk peruntukan jutaan ringgit bagi pembinaan pasar-pasar khusus untuk warga Malaysia Timur di Pasir Gudang. Ia berjaya melonjakkan popularitinya.

Pengerusi Pasar Muafakat Sabah@Johor, Faisal Sisar (gambar) memuhi Khaled kerana membuka peluang perniagaan kepada warga Malaysia Timur di sana.




Justeru dia yang juga ketua cawangan Umno yakin Khaled mampu mendapat sebahagian besar undi mereka.

Namun Khaled juga berdepan gelombang daripada masyarakat itu, bukan daripada HARAPAN, tetapi merentasi Laut China Selatan dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ketika berkempen dengan masyarakat itu minggu lalu, Khaled tidak semena-mena berkata yang mereka tidak memerlukan WARISAN untuk menjaga mereka.

Sebagai respons, Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking menggesa mereka yang mengundi di Semenanjung, termasuk Pasir Gudang, untuk mengundi HARAPAN.

WARISAN yang kini menjadi pencabar kuat di Sabah memiliki pengaruh di kalangan rakyat negeri itu yang berhijrah ke Semenanjung.

Populariti Khaled, masalah Najib

Khaled juga mempunyai masalah sendiri. Langkah meletakkannya di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN mencetuskan spekulasi beliau akan digugurkan daripada kedudukan menteri besar dan berpindah ke peringkat persekutuan. Ia mencetuskan ketidaktentuan dalam jentera.




Khaled yang pada mulanya cuba mengelak akhirnya mengesahkan - pada hari keenam kempen - yang beliau merupakan pilihan BN untuk terus menjadi menteri besar.

Dengan segala faktor ini, populariti Khaled akan menjadikannya memberi tentangan sengit kepada pembangkang.

Malah kempen HARAPAN tidak menyerangnya secara langsung, bimbang ia akan makan diri.

Mereka sebaliknya menjadikan imej Datuk Seri Najib Razak sebagai sasaran utama.

"Kami tidak akan menyerang Khaled secara peribadi, hanya mempersoalkan kenapa dia sekapal dengan Najib...penyokong Umno akan mendengarnya," kata Hassan.

Sejak 28 April lalu, Najib belum menjejakkan kaki ke Johor.

Tinggal dua hari saja lagi sebelum hari mengundi, Khalid mengesahkan Najib tidak akan berkempen di negeri itu.

Di sebalik faktor luar kawalan yang dihadapinya, Khaled perlu mempertahankan Pasir Gudang atau berisiko melihat kedudukan politiknya semakin lemah - walaupun mengekalkan kemenangan di Permas.

Pada PRU lalu, Khaled menang di kerusi majoriti Melayu itu dengan majoriti 5,752 undi. Satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Pasir Gudang adalah kerusi campuran Johor Jaya, yang dimenangi DAP dengan majoriti 1,460 undi.


No comments: